Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
PP beri skuad Harimau Kumbang RM3 juta
Diterbitkan:  Aug 26, 2015 4:33 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Selepas membuktikan keupayaan mereka dalam persaingan Liga Perdana, skuad bola sepak Pulau Pinang mendapat suntikan insentif bernilai RM3 juta daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, insentif itu diberikan sebagai cara kerajaan negeri meraikan kejayaan skuad Harimau Kumbang memasuki saingan liga tertinggi negara ini, iaitu Liga Super mulai tahun depan.

"Ini kejayaan yang dinanti-nantikan peminat bola sepak Pulau Pinang. Walaupun sukar, saya berharap skuad Pulau Pinang dapat kekal dalam Liga Super," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Skuad Pulau Pinang pernah menjadi antara pasukan paling disegani terutama di era hujung 1990-an dan awal 2000.

Bagaimanapun disebabkan bebanan masalah kewangan prestasi pasukan Pulau Mutiara merudum dan tiba di posisi terburuknya pada 2010 apabila skuad bimbingan Reduan Abdullah hanya mengumpul 10 mata daripada keseluruhan musim.

Naik pangkat

Keadaan itu membuat skuad Harimau Kumbang tenggelam di dasar liga.

Namun itu belum cukup untuk Pulau Pinang. Pada 2011 skuad itu diturunkan 'pangkat' untuk bersaing di persaingan lebih rendah, iaitu Liga FAM yang biasanya disertai pasukan peringkat kelab kecil.

Pada musim 2015, Pulau Pinang muncul sebagai naib juara Liga Perdana di bawah Kedah, sekali gus melayakkan mereka 'dinaikkan pangkat' semula untuk bersaing di Liga Super pada tahun depan.

Hari ini majlis penyampaian cek insentif itu dilakukan di Komtar.

Ia disampaikan Pengurus Besar PBAPP, Jaseni Maidinsa kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff, disaksikan Lim.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon, exco kerajaan negeri dan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Sementara itu Nazir Ariff berkata FAP menghargai sokongan padu erajaan Pulau Pinang dan PBAPP selama ini.

Dalam majlis yang sama, Nazir Ariff turut mengumumkan dua pemain Pulau Pinang yang bakal menyertai skuad kebangsaan, iaitu Mohd Faiz Subri dan Yong Kuong Yong.

Lihat Komen
ADS