Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Tumpaskan Brugge MU lebih berharap
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 12:44 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Manchester United akhirnya berjaya melangkah ke kejohanan Piala Juara-juara selepas mengalahkan kelab Belgium, Brugge, 4 - 0 awal pagi tadi, menjadikan anak buah Louis van Gaal menang dengan agregat 7 - 1.

Wayne Rooney menjadi bintang utama dalam perlawanan itu apabila tiga daripada gol kelabnya dijaringkan oleh ketua pasukan itu selepas dia kelihatan gersang sentuhan bermakna dalam empat perlawanan terawal di Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Selain itu ada beberapa isu menjadi perbualan ramai.

Kelegaan untuk Rooney

Ketika melangkah masuk ke padang, Rooney mungkin menyedari bahawa dia sudah bermain selama 354 minit (atau hampir enam jam) tanpa menjaringkan walau satu gol pun untuk EPL musim ini. Dengan statusnya sebagai pemain berbisa di kelab yang gah, tekanan tentu dirasakan amat ketara.

Namun awal pagi tadi Rooney kembali menemui sentuhan bisanya.

Sebelum ini van Gaal dilaporkan mencabar pemain kebangsaan England itu untuk "membuktikan" dia masih memiliki ketajaman seorang penyerang .

Magis Depay lagi

Pemain baru MU, Memphis Depay menunjukkan potensi yang ada padanya untuk masa depan lebih cerah di Old Trafford.

Di awal perlawanan pusingan kedua menentang Brugge tadi Depay memang perlu masa agak lama untuk menyesuaikan diri, namun pada ketika yang tepat, kematangannya memang terbukti.

Rooney mungkin tidak mendapatkan gol pertamanya tanpa hantaran daripada Depay.

Prestasi dipamer Depay setakat ini membayangkan dia adalah khabar buruk untuk lawan MU selepas ini.

Peranan terbaik Ander Herrera

Sesetengah penyokong MU mahu Herrera diberi peluang mengisi posisi midfield selepas menunjukkan persembahan meyakinkan sebelum ini.

Pagi tadi van Gaal memilih untuk mengikut pendapat peminat dan hasilnya Herrera menunjukkan keberkesanannya sebagai pemain sokongan untuk pertahanan, selain menjadi barisan depan pada separuh masa kedua.

Kecuaian Herrera membolehkan pemain Brugge melancarkan serangan pertama ke arah gawang MU pada minit ke-13 sebelum dia bertindak menjatuhkan pemain lawan. Akibatnya Herrera menerima kad kuning.

Hanya selepas Bastian Schweinsteiger dimasukkan pada separuh masa kedua, Herrera menunjukkan perubahan drastik.

Selain membantu Rooney menjaringkan gol, Herrera sendiri mencatatkan namanya sebagai salah seorang pembolos gawang Brugge.

Mampukah MU?

Masih terlalu awal untuk mendapat jawapan kepada pertanyaan itu. Berdepan dengan Brugge pun MU sesekali cemas, apa lagi dengan kelab lain selepas ini.

Namun memang ada petanda menunjukkan van Gaal akan membawa kelabnya memeriahkan kancah persaingan di Eropah.

Ditambah dengan keyakinan Rooney, masa depan MU mungkin cerah.

Lihat Komen
ADS