Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala Juara-juara: Apa kata Alan Smith
Diterbitkan:  Aug 28, 2015 4:22 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Undian untuk menentukan kumpulan awal persaingan Liga Juara-juara berlangsung sudah. Ada banyak yang menarik untuk diperhatikan. Misalnya Arsenal bagaikan 'disumpah' untuk sekali lagi berkongsi kumpulan dengan Bayern Munich; Memphis Depay akan berdepan kelab lamanya, PSV Eindhoven, dan Jose Mourinho perlu mengatasi kelab yang pernah dibimbingnya - pada 2004 - untuk menjadi juara, Porto.

Semua empat kelab dari Liga Perdana Inggeris - Arsenal, Manchester City, Chelsea dan Manchster United - terelak daripada berdepan dengan gergasi La Liga, Barcelona dan Real Madrid.

Setiap pasukan bertarung enam kali di peringkat kumpulan dengan perlawanan pertama diadakan pada 15 dan 16 September.

Bekas pemain kebangsaan England, Alan Smith, 52, meneliti semua lapan kumpulan berkenaan dan memberikan pandangannya:

Kumpulan A

Persaingan utama tentulah antara Paris St-Germain dan Real Madrid.

Galacticos di bawah Rafaek Benitez mengimpikan kejayaan lebih manis berbanding musim lalu apabila mereka terkandas di peringkat separuh akhir.

Bagi juara liga Perancis itu pula, mereka berharap rekod tahun ini lebih baik berbanding musim sebelumnya.

Melengkapkan kumpulan ini ialah Shakhtar Donetsk (Ukraine) dan Malmo (Sweden).

Ramalan kedudukan akhir:

  • Real Madrid
  • PSG
  • Shakhtar Donetsk
  • Malmo

Kumpulan B

Manchester United tidak layak mengeluh, mengadu atau memberi alasan walaupun mereka mungkin berasa 'kurang bernasib baik' kerana diundi bersama CSKA Moscow (Russia), Wolfsburg (Jerman) dan PSV Eindhoven (Belanda).

Cabaran terkuat dipercayai akan datang daripada kelab Wolfsburg, yang menjadi naib juara Bundesliga musim lalu.

PSV pula tidaklah nampak begitu kuat dan tanpa terbabit dalam beberapa pertandingan utama sekitar Eropah boleh diambil kira.

Kecuali barisan pertahanan Louis van Gaal menjadi longgar, laluan ke pusingan seterusnya nampak mudah untuk skuad Syaitan Merah itu.

Ramalan kedudukan akhir:

  • Manchester United
  • Wolfsburg
  • PSV Eindhoven
  • CSKA Moscow

Kumpulan C

Undian yang baik untuk Atletico Madrid yang pernah membuktikan mereka mampu melangkah jauh dengan kesungguhan tinggi.

Cabaran utama untuk mereka ialah juara dari Turki (Galatasaray) dan Portugal (Benfica).

Rekod sebelum ini menunjukkan Benfica gagal kerana mereka tidak mampu melepasi cabaran peringkat kumpulan pun.

Pada masa sama, Galatasaray kini memiliki pemain baru yang boleh membawa ancaman seperti Lukas Podolski.

Sementara itu untuk Astana, kemampuan mereka menjadi juara liga Kazakhstan dianggap memadai untuk peringkat permulaan.

Ramalan kedudukan akhir:

  • Atletico Madrid
  • Galatasaray
  • Benfica
  • Astana

Kumpulan D

Sekali lagi Manchester City mendapati mereka tersepit. Bersama mereka ialah finalis tahun lalu, Juventus (Itali) dan gergasi Eropah lain - Sevilla (Sepanyol) dan Borussia Monchengladbach yang pernah digeruni pada 1970-an dan kini sedang dalam proses kebangkitan semula.

Untuk berjaya anak buah Manuel Pellegrini mesti mengelakkan sebarang kesilapan mudah. Jika ia berjaya dilakukan dengan mendapatkan kemenangan di laman sendiri, mereka sepatutnya boleh pergi jauh.

Ramalan kedudukan akhir:

  • Manchester City
  • Juventus
  • Sevilla
  • Borussia Monchengladbach

Kumpulan E

Ujian yang baik untuk juara lalu tetapi dijangkakan tidak terlalu sukar. Di atas kertas kelab dari Itali, Roma, adalah pencabar tersengit untuk Barcelona kerana menduduki tempat kedua Serie A tahun lalu.

Kehadiran Edin Dzeko dan Mohamed Salah membantu Gervinho dipercayai berguna untuk menajamkan serangan Roma.

Namun kelab Bayer Leverkusen (Jerman) tidak boleh dipandang sebelah mata kerana mereka juga berpeluang layak ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, skuad lain boleh mengabaikan kelab dari Belarus, BATE Borisov.

Ramalan kedudukan akhir:

  • Barcelona
  • Roma
  • Bayer Leverkusen
  • BATE Borisov

Kumpulan F

The Gunners adalah muka lazim dalam Liga Juara-juara dan selama dua daripada tiga musim terakhir Bayern Munich adalah perosak mimpi mereka.

Andainya Arsene Wenger menganggap itu adalah khabar buruk untuk Arsenal, mereka mesti tampil lebih kemas ketika berdepan dengan Olympiakos (Greece) dan Dinamo Zagreb (Croatia).

Namun secara adil, Zagreb tidak kelihatan benar-benar bersedia menyusahkan Arsenal.

Di atas kertas, ini adalah kumpulan yang mempunyai struktur paling jelas - Bayern di kedudukan teratas dan diikuti Arsenal.

Keputusan selain itu adalah sangat di luar jangkaan.

Ramalan kedudukan akhir:

  • Bayern Munich
  • Arsenal
  • Olympiakos
  • Dinamo Zagreb

Kumpulan G

Undian yang amat disukai Chelsea. Mourinho boleh pulang ke gelanggang Porti dengan perasaan amat yakin dapat membenam lawan.

Untuk Dynamo Kiev (Ukraine), kelab itu jarang meninggalkan kesan mendalam sebelum ini. Tanpa Andriy Yarmolenko tidak banyak yang boleh diharapkan.

Satu lagi pasukan ialah Maccabi Tel Aviv - kelab amat janggal kerana berasal dari Timur Tengah. Jika mereka mendapat sebarang mata, ia adalah cukup baik.

Ramalan kedudukan akhir:

  • Chelsea
  • Porto
  • Dynamo Kiev
  • Maccabi Tel Aviv

Kumpulan H

Daripada semua kumpulan, kelompok ini paling sukar diramal. Dengan Andre Villas-Boas menjadi bos di Zenit St Petersburg ia boleh dipuji kerana membawa kelab berkenaan menjuarai liga Russian.

Valencia (Sepanyol) pula perlukan beberapa pemain tambahan untuk mengukuhkan jentera serangan dikendalikan Alvaro Negredo.

Lyon (Perancis) pula bergantung kepada Alexandre Lacazette yang memang sudah membuktikan bahawa dia berbisa di barisan depan.

Satu lagi kelab pelengkap kumpulan ini ialah pendatang baru, Ghent (Belanda), yang sepatutnya bersikap realistik dan cuba sebaik mungkin ketika turun gelanggang.

Ramalan kedudukan akhir:

  • Zenit St Petersburg
  • Lyon
  • Valencia
  • Ghent

Lihat Komen
ADS