Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh, berdepan kesukaran menjelang pertemuan dengan Bangladesh malam esok apabila anak buahnya kini bukan berada dalam keadaan terbaik.

Kata Dollah, barisan pemain kebangsaan yang melaporkan diri kepada FAM untuk mewakili Malaysia dalam perlawanan persahabatan itu masih keletihan ekoran baru saja menamatkan saingan liga tempatan tahu ini.

Namun dia enggan mengalah.

"Tetapi dalam apa cara sekali pun, saya gunakan perlawanan dengan Bangladesh ini untuk menaikkan semula tahap keyakinan pemain.

"Kita tetap tak boleh ambil mudah dan saya juga tak mahu berlaku seperti Malaysia melawan Palestin sebelum ini.

"Pemain Malaysia kena buktikan," katanya di sidang media di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.

Turut hadir, jurulatih Bangladesh Lodewijk de Kruif, ketua pasukan Malaysia Shafiq Rahim dan rakan sejawatnya untuk skuad lawan, Mamanul Islam Mamun.

September bertarung lagi

Perlawanan di stadium Shah Alam malam esok merupakan aksi pemanas badan bagi kedua-dua pasukan sebelum masing-masing meneruskan saingan di peringkat kelayakan Piala Asia 2019 dan Piala Dunia 2018.

Malaysia akan berdepan Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September bagi perlawanan ketiga kumpulan A, manakala Bangladesh berdepan Australia bagi saingan kumpulan B pada tarikh sama.

Sementara itu Dollah berkata, fokus perlawanan persahabatan kali ini juga adalah untuk mengembalikan rentak dan corak permain skuad Harimau Malaya.

"Apa pun, kami tak boleh ambil mudah dan perlu membuktikannya di atas padang. Saya tak mahu apa yang berlaku ketika bertemu Palestin (dibelasah 6-0) berulang. Kami mahu buat yang terbaik. Insya-Allah.

"Kami sebenarnya tak dapat juga melakukan persiapan yang banyak kerana pemain JDT pun baru melapor diri semalam. Apa pun, saya mahu pemain lebih fokus dan mendapatkan semula rentak dan corak permainan ketika kami muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014," katanya.

Lupakan 0 - 6

Sementara itu, beliau menegaskan skuad kebangsaan terpaksa menggunakan pemain JDT untuk memperkuatkan pasukan walaupun mereka masih dalam keletihan.

"Untuk perlawanan esok, saya mahu jadikan ia persiapan bagi dua aksi kelayakan bertemu UAE dan Arab Saudi. Jadi sebagai permulaan perlawanan, saya tetap akan menggunakan pemain JDT biarpun mereka nampak keletihan. Kalau boleh, mereka akan bermain sekurang-kurangnya 45 minit," kata Dollah.

Sebelum ini skuad B-22 negara kendalian Razip Ismail pernah mengalahkan Bangladesh pada aksi Piala Emas Bangabandhu.

Bagaimanapun, Dollah berkata pasukannya tidak boleh pandang mudah pasukan Bangladesh biarpun skuad B-22 dua kali menewaskan mereka Februari lalu.

Bagi kapten pasukan Syafiq Rahim, beliau berharap rakan-rakan sepasukan dapat melupakan kekalahan 0-6 kepada Palestin sebelum ini dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika bertemu UAE nanti.

"Saya harap kita bagi aksi terbaik untuk dapatkan keputusan yang baik bagi dua perlawanan kelayakan.Harap tak berlaku persembahan yang teruk untuk pasukan negara.

"Untuk persediaan kali ini kita lupakan sekejap pasukan negeri atau kelab, kita fokus sepenuhnya untuk pasukan negara," katanya yang juga kapten JDT.

Lihat Komen
ADS