Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
EPL: Bala Mourinho, Advocaat & penjaga gol
Diterbitkan:  Oct 4, 2015 10:16 AM
Dikemaskini: 8:43 AM

20 minit, 5 gol

Sergio Aguero, 27, menjadi pemain kelima menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan di England sejak EPL diperkenalkan pada 1992.

Selain Aguero, empat pemain lain ialah Andrew Cole, Alan Shearer, Jermain Defoe dan Dimitar Berbatov.

Dia sepatutnya berpeluang mencipta rekod lain tetapi ‘digagalkan’ oleh pengurus Man City, Manuel Pellegrini yang menggantukan Aguero pada minit ke-64.

Menjelaskan keputusannya Pellegrini berkata Aguero digantikan atas kehendak pemain kebangsaan Argentina itu sendiri yang mengadu mengalami kesakitan pada hamstring ketika waktu rehat.

Dalam perlawanan menentang Newcastle itu Aguero menjaringkan lima gol dalam tempoh 20 minit. Daripada enam gol Man City, Aguero menjarigkan kesemuanya kecuali yang keempat oleh Kevin de Bruyne

CINCO ESTRELLAS: Datos interesantes después de los 5 goles del @aguerosergiokun http://t.co/JBXKYLpLcT pic.twitter.com/QmDUBjeh5w

— Manchester City FC (@MCFCEspanol) October 3, 2015

Itu sajalah Chelsea

Terdesak untuk mengubah nasib Chelsea memanggil semula John Terry sebagai ‘penyelamat’.

Bekas kapten England itu memang membawa tuah – sekurang-kurangnya untuk sementara – apabila Willian menjaringkan gol melalui tendangan percuma pada minit ke-10.

Namun setakat itu sajalah tuah The Blues.

Walaupun bermain di padang sendiri Jose Mourinho terpaksa berputih mata melihat anak buahnya diperkotak-katikkan oleh Southampton yang menjaringkan tiga gol melalui Steven Davies, Sadio Mane dan Graziano Pelle.

Perlawanan malam tadi adalah pengalaman pertama Mourinho melihat pasukan lawan menjaringkan lebih daripada dua gol di Stamford Bridge bagi saingan EPL.

Ia juga kekalahan keempat Chelsea setakat ini – dan sejarah permulaan musim terburuk kelab itu dalam tempoh 37 tahun.

“Jika Chelsea mahu memecat saya, pecatlah. Saya tidak akan lari,” katanya kepada Sky Sports .

Zaha menonjol

Crystal Palace menempati kedudukan ketiga liga selepas mengalahkan West Bromwich Albion 2 – 0.

Gol dijaringkan oleh Yannick Bolasie pada minit ke-68 sebelum diikuti penalti oleh Yohan Cabaye (minit ke-89).

Dua hari selepas diketepikan oleh Roy Hodgson daripada skuad kebangsaan England, Wilfried Zaha membuktikan dia bukanlah pemain kelas bawahan apabila mempamerkan kemampuan mengagumkan malam tadi.

Menariknya, prestasi Zaha itu turut disaksikan oleh Hodgson yang hadir di Selhurst Park. Zaha juga menjadi punca Palace memperoleh sepakan penalti apabila dia dijatuhkan Chris Brunt.

Leicester kini keempat

Kelab yang baru ‘dinaikan pangkat’ musim lalu, Leicester City kembali mencatat kemenangan – kali ini mengatasi Norwich City dengan jaringan 2 – 1.

Penyerang England Jamie Vardy menyempurnakan tendangan penalti di separuh pertama perlawanan yang berlangsung di Carrow Road itu sebelum rentak kemenangan diteruskan pula oleh Jeff Schlupp di separuh kedua.

Gol pertama Dieumerci Mbokani sejak dipinjamkan daripada Dynamo Kiev memberikan harapan kepada Norwich di minit ke-68 namun harapan tetap tinggal harapan.

Kemenangan keempat daripada lapan perlawanan itu melonjakkan Leicester ke kedudukan keempat liga, manakala Norwich tergelincir ke tempat ke-13.

Apa nak jadi, Advocaat?

Kelab yang menunjukkan prestasi hebat di awal musim, West Ham United kini berada di tempat kelima gara-gara gagal melakar kemenangan dalam pertemuan dengan kelab kedua tercorot, Sunderland.

Kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 2 – 2.

Dengan keadaan begitu, pengurus Sunderland Dick Advocaat dilaporkan semakin hampir untuk disingkirkan daripada kelab berkenaan.

Sepatutnya Sunderland boleh mendapat tiga mata yang amat mereka perlukan apabila mereka membuat gerakan tepat bagi mendahului lawan di minit ke-10 dan 22 masing-masing melalui Steven Fletcher dan Jeremain Lens.

Namun nasib – dan corak permainan – berubah sebaik saja Lens dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Kekurangan itu dimanfaatkan oleh anak buah Slaven Bilic yang menjaringkan dua gol melalui Carl Jenkinson (minit ke-45) dan Dimitri Payet (minit ke-60).

“Saya tak mahu memberi sebarang jawapan. Hari ini saya seorang pengurus. Apa yang berlaku pada minggu mendatang saya tak boleh ramal,” kata Advocaat yang ditanya media mengenai nasibnya.

Jasa dua penjaga gol

Watford perlu mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua penjaga gol yang beraksi di Stadium Goldsands.

Untuk penjaga gol mereka sendiri, Heurelho Gomes bertindak cemerlang menafikan tendangan penalti pemain Bournemouth, Glenn Murray, ketika perlawanan berbaki kira-kira tujuh minit saja lagi.

Ketika itu kedudukan terikat 1 – 1.

Tindakan Gomes melompat ke arah kiri pintu gol berjaya menghalang tendangan Murray daripada menerjah gawang dikawalnya.

Terdahulu, Murray berjaya meletakkan pasukan tuan rumah di depan melalui gol di minit ke-28.

Pelawat juga perlu berterima kasih kepada penjaga gol Bournemouth, Artur Boruc yang melakukan kesilapan besar ketika menghantar semula bola kepada pemain pertahanannya, Odion Ighalo.

Bola itu dipintas Sylvain Distin yang mudah menolak bola masuk ke gawang yang tidak berkawal. Gol penyamaan itu dijaringkan pada minit ke-45.

Ia adalah gol kelima Distin untuk musim ini.

Sherwood paling sedih

Stoke mencatat kemenangan pertama di tempat lawan sejak Februari lalu apabila mengatasi Aston Villa 1 – 0.

Kemenangan The Potters itu disumbangkan oleh pemain tengah, Marko Arnautovic.

Sebelumnya pengadil membatalkan bola yang dimasukkan Arnautovic manakala tendangan jarak jauh Charlie Adam (dari jarak 60 meter) sempat membuat penjaga gol Villa, Brad Guzan cemas.

Adam menjaringkan gol yang hampir sama ketika Villa bertemu Chelsea sebelum ini.

Villa – yang kini dikendalikan oleh Tim Sherwood – berada di kedudukan ke-18, di atas Sunderland dan Newcastle.

“Tiada sesiapa mengalami kesedihan seperti yang sedang saya alami kini,” kata Sherwood.

Dia dilantik menggantikan Paul Lambert pada Isnin lalu dengan misi menyelamatkan Villa daripada tersingkir ke saingan liga bawahan.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu berjanji akan mengekalkan Villa dalam saingan EPL musim ini.

78- Aston Villa 0-1 Stoke CityMarko Arnautovic's 55th minute strike remains the difference here at Villa Park. We're into the final 12 minutes and the hosts are surging forward in search of a leveller.

Posted by Stoke City Football Club on Saturday, October 3, 2015

Lihat Komen
ADS