Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Legenda negara Hassan Sani kecewa dengan Harimau Malaya

Bola dahulu bulat, bola sekarang juga bulat.

Tetapi semangat berjuang ketika di atas padang di kalangan pemain bola sepak Malaysia dilihat semakin kendur berbanding era kegemilangan bola sepak negara di pentas antarabangsa sekitar tahun 1970 hingga 1980-an.

"Semangat kami tinggi bagi menjulang nama negara, itu menjadi kekuatan kepada saya dan rakan-rakan bekerja keras.

"Dulu tiada gaji, tidak mewah sebagai pemain bola sepak dan pihak atasan (pengurusan persatuan) juga kurang campur tangan. Tetapi kami ada semangat dan kerjasama sepasukan yang tinggi," kata legenda dan bekas pemain bola sepak kebangsaan negara, Datuk Hassan Sani.

"Dulu ada juga FAM, tetapi tiada campur tangan sangat. Pemain hanya diuruskan jurulatih, keadaan itu (mungkin) berbeza dengan sekarang," tambah beliau.

Mengulas mengenai situasi semasa skuad kebangsaan, Hassan berkata, Harimau Malaya perlu diperbaiki segera apabila menunjukkan prestasi teruk termasuk dengan kejatuhan ranking ke-171 dunia.

"Saya agak berasa kecewa melihat perkembangan sukan bola sepak negara. Kita hanya mampu menyokong dari jauh, tetapi itulah bola sepak semua terletak pada diri setiap pemain itu sendiri.

"Dulu, apabila menyarung jersi kebangsaan semangat kita sangat 'gentar'. Saya sangat gembira dan teruja untuk wakili negara, tetapi dalam masa sama menyedari tanggungjawab besar yang digalas," katanya.

Memulakan karier dengan pasukan Sabah FA pada tahun 1974, kelibat pemain kelahiran Labuan ini sangat digeruni lawan di kancah liga Malaysia.

Digelar sebagai 'lipas kudung' kerana kepantasan dan kelincahannya, bekas penyerang negara itu berkata, tiga perkara utama yang perlu dititikberat oleh pemain bola sepak ialah disiplin, semangat dan stamina.

"Apabila tiga aspek ini dimiliki seseorang pemain, dia dapat berdikari untuk bekerja (berlawan). Sebab di atas padang, kita hanya ada rakan-rakan sepasukan dan perlu bekerjasama.

"Jurulatih hanya bagi arahan sikit-sikit, segalanya pemain yang tentukan. Kami disuntik dengan semangat bermain bermati-matian lebih-lebih lagi ketika mewakili negara," katanya yang mengimbau nostalgia manis berjaya membawa bola sepak Malaysia ke pentas Olimpik tahun 1980.

Bagaimanapun, Malaysia tidak beraksi pada Sukan Olimpik tersebut apabila kerajaan Malaysia berkeras untuk memboikot tindakan Kesatuan Soviet yang menceroboh Afghanistan ketika itu.

Sekarang ada segalanya

Berbeza dengan zamannya, Hassan menyifatkan pemain bola sepak sekarang lebih bertuah dengan banyak kelebihan yang diperoleh.

"Saya dulu walaupun main bola, tetapi tetap kena bekerja untuk sara hidup. Jelas berbeza dengan karier pemain sekarang, sepatutnya mereka lebih fokus tumpukan kepada latihan dan perlawanan.

"Sehingga sekarang pun saya masih bekerja, komitmen pemain dahulu sangat mencabar," kata Hassan yang kini berusia 57 tahun dan bertugas di Jabatan Laut dan Dermaga Negeri Sabah.

Lihat Komen
ADS