Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di mata Ultras Malaya, apa hukuman yang diterima FAM bukanlah isu penting sekarang ini, sebaliknya perancangan badan induk bola sepak negara untuk meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

Jurucakap Ultras Malaya, Alfadli Awaludin berkata, hukuman yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu adalah hukuman terhadap FAM‎.

Pada masa sama, katanya, jika FAM bercadang mengambil tindakan terhadap Ultras Malaya pertubuhan itu bersikap terbuka, dengan syarat ia boleh membawa Harimau Malaya mencapai tiga sasaran yang diingini peminat.

"Mengenai cadangan FAM nak ambil tindakan terhadap Ultras, jika tindakan itu dirasakan boleh membawa bola sepak Malaysia ke arah tiga sasaran yang penyokong mahu, silakan.

"Apa sahaja untuk kebaikan bola sepak Malaysia Ultras Malaya akan sokong," katanya kepada Malaysiakini .

Selama portal ini melaporkan, FAM dikenakan tiga hukuman dan satu amaran ekoran kekecohan berlaku di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu.

Gagal kerana sistem

Sebahagian penonton membaling suar dan mercun ke padang sehingga memaksa pengadil memberhentikan perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Kedudukan ketika itu pasukan pelawat mendahului Harimau Malaya 2 -1.

Kata Alfadli, Ultras Malaya akan tetap menjadi kumpulan pendesak perubahan terhadap FAM.

Menjelaskan tiga sasaran yang dituntut terhadap FAM, Alfadli berkata mereka mahu:

  • Malaysia mendapat tempat dalam pusingan akhir Piala Dunia secara merit.
  • Malaysia layak bersaing di Piala Asia secara merit
  • Pasukan dalam Liga Malaysia layak bermain di Liga Juara-juara Asia tanpa melalui play-off .

"Justeru, bagaimana FAM merancang perjalanan ke arah itu?" katanya.

Kata Alfadli, FAM tidak perlu terlalu kerap berbincang mengenai apa yang sudah berlaku kerana ia hanya akan menghabiskan masa yang sepatutnya digunakan untuk merangka pelan masa depan.

"Bola sepak Malaysia gagal kerana sistem yang ketinggalan zaman, tiada visi dan misi yang jelas daripada FAM.

"Apa yang penting sekarang ialah visi dan misi serta pembangungan sistem bola sepak Malaysia berdasarkan perkara tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS