Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ibu pemain Stoke antara korban tragedi Mina
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 12:49 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Tragedi berdarah di Mina pada 24 September lalu bukan saja dirasai umat Islam di negara ramai Muslim, malah memberi kesan kepada salah seorang pemain EPL.

Kemalangan yang menyebabkan hampir 800 orang meninggal dunia itu amat dirasai penyerang Stoke City, Mame Biram Diouf kerana salah seorang daripada mereka adalah ibunya.

Wanita dikenali sebagai Gnilane itu disahkan meninggal selepas proses pengecaman dibuat.

Berita mengenainya disampaikan kepada Mame Biram Isnin lalu.

Salah seorang adik-beradik perempuan Mame Biram juga mengerjakan haji bersama Gnilane namun hanya mengalami kecederaan ringan dalam tragedi berkenaan.

Pernah bersama Man United

"Stoke City mengucapkan rasa dukacita kepada Mame Biram atas pemergian tragis ibunya.

"Kelab akan memberi segala sokongan yang diperlukan. Doa kami bersama Mame Biram dan keluarganya," kata kelab itu dalam kenyataan rasmi, semalam.

Kejadian itu turut mendapat simpati Pengerusi Stoke City, Peter Coates.

"Saya berasa amat sedih selepas mendengar berita mengenainya," kata Coates.

Mame Biram, 27, berasal dari Senegal dan pernah menyertai Manchester United pada 2009 hingga 2012. Sebahagian daripada masanya itu digunakan untuk bermaik mewakili kelab Norway, Molde FK kerana dipinjamkan ke sana.

Untuk tempoh 2010 - 2011 pula dia bermain untuk kelab Blackburn Rovers.

Pada 2012 dia kemudian berhijrah ke kelab Jerman, Hannover sebelum kembali ke kancah EPL dengan menyertai Stoke City awal musim lalu.

Setakat ini dia sudah menyumbang tiga gol untuk kelab terbarunya.

Lihat Komen
ADS