Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perlawanan antara Harimau Malaya dan Laos esok mungkin bertaraf persahabatan namun bagi sesetengah pemain kekuatan mental mereka masih belum berada di tahap yang sepatutnya.

Ia diakui penyerang kebangsaan Safee Sali.

Kata pemain skuad JDT itu, kritikan peminat terhadap prestasi semasa skuad kebangsaan memberi kesan kepada mereka.

"Dari aspek fizikal, pemain memang berada tahap yang baik sebab kita ada liga (tempatan) yang sedang berjalan.

"Cuma saya lihat dari aspek motivasi dan mental, ia belum berada pada kombinasi yang baik," katanya.

Harimau Malaya akan menentang Laos sebelum turun melengkapkan cabaran pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 dengan menentang Timor Leste pada 13 Oktober ini.

Sebagai persediaan hari ini mereka menjalani latihan di Pusat Latihan Muanthong United, Bangkok, Thailand.

Keadaan bertambah baik

Ditanya mengenai keyakinannya, Safee berkata, dia dan rakan sepasukan akan cuba sedaya upaya memberikan persembahan terbaik kerana menyedari prestasi Laos juga sedang meningkat.

Selepas lama tidak beraksi untuk skuad Harimau Malaya, Safee berharap dapat mengembalikan keyakinan sekali gus menyumbang gol untuk mencatatkan keputusan positif.

"Pastinya saya akan berusaha untuk dapatkan keputusan yang baik kerana perlawanan ini penting sebelum kami berdepan Timor Leste. Apa yang penting kita cuba lunaskan tanggungjawab dan mengikut setiap arahan jurulatih," katanya.

Sementara itu jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata keadaan anak buahnya bertambah baik pada sisi latihan hari ini.

Katanya, perlawanan esok diharap dapat memberi gambaran mengenai tahap kekuatan dan kelemahan pasukan untuk diperbaiki sebelum bertemu Timor Leste.

"Kita tidak boleh menilai pasukan lawan (Laos) berdasarkan kepada dua perlawanan lalu kerana bagi saya mereka sudah bertambah baik.

"Kedudukan kita (dalam ranking dunia) pun tidak begitu jauh dari Laos.

"Jadi kita tak boleh ambil mudah. Apa yang penting kita perlu memikirkan corak permainan yang perlu serta terus berdisiplin," katanya.

Kim Swee juga berkata, pemain perlu menunjukkan karekter seperti ketika mereka bermain dengan Arab Saudi di Shah Alam tempoh hari.

Ditanya tahap keyakinan beliau berdepan Laos, Kim Swee menyifatkan sekiranya berjaya melakar kemenangan ia akan menjadi bekalan keyakinan kepada pemain.

"Tetapi bukan untuk bermegah walaupun kita (mungkin) menang. Kemenangan ini mustahak untuk memberi keyakinan," katanya.

Ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) kini menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-171, manakala Laos di tangga ke-179.

Lihat Komen
ADS