Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bola dahulu bulat, sekarang juga bulat. Diyakini pada masa depan bola akan tetap berbentuk bulat.

Tetapi bagaimana dengan kebulatan suara, semangat dan sokongan kepada bola sepak di Malaysia khususnya terhadap skuad kebangsaan?

Bagi legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani, beliau berasa bertuah kerana senario bola sepak pada zamannya diakhiri dengan penuh kegemilangan.

Bercerita tentang kenangan bersama pasukan Malaysia, Hassan berkata, berbeza dengan skuad kebangsaan sekarang, tempoh pemain dulu dalam pasukan itu lebih lama.

"Pada zaman saya, pemain sama dalam pasukan Malaysia berada dalam tempoh masa yang panjang. Berbeza sama sekali dengan sekarang.

"Sekarang pemain silih berganti, rasa pemain ini tak bagus jurulatih gantikan dengan pemain lain," katanya yang kini berusia 57 tahun.

Dua aspek penting

Keadaan itu katanya, menyukarkan persefahaman dan kerjasama antara pemain.

"Saya dulu bersama (Datuk) James Wong, Khalid Ali dan rakan-rakan begitu serasi.

"Fokus kami adalah untuk Malaysia, semangat kerjasama berpasukan menjadi keutamaan kepada saya.

"Dua aspek itu (persefahaman dan kerjasama) wujud sebab kami bersama mewakili negara dalam tempoh panjang," kata pemain yang pernah digelar sebagai 'lipas kudung' itu.

Menjadikan lagenda Mokhtar Dahari sebagai idolanya, Hassan mewakili Malaysia buat pertama kali ketika kejohanan Piala Presiden di Seoul, Korea Selatan.

Ketika itu, beliau hanya menjadi pemain di bangku simpanan, manakala Mokhtar masih bergandingan dengan Isa Bakar.

Kini Hassan masih aktif bermain bola sepak untuk pasukan veteran dan menjadi jurulatih pasukan bola sepak di sekitar Labuan.

Besar harapan beliau kini adalah untuk melihat pasukan kebangsaan kembali melakar kegemilangan di pentas antarabangsa.

"Saya berharap prestasi bola sepak Malaysia dapat diperbaiki dalam masa terdekat dan mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai jurulatih yang sesuai buat Harimau Malaya, Hassan berkata, perkara itu mungkin perlu melihat kepada 'pilihan' pemain sendiri.

"Jika kita lantik jurulatih yang menjulang Piala Dunia sekali pun, jika pemain tidak berubah keadaannya sama sahaja. Peranan penting adalah pemain itu sendiri.

"Tetapi kalau kita ambil jurulatih asing, mungkin pemain akan lebih hormat berbanding jurulatih tempatan," katanya.

Lihat Komen
ADS