Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Blatter, Platini antara digantung dari Fifa
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 12:19 AM
Dikemaskini: 4:26 PM

Jawatankuasa Etika Fifa meggantung sementara presiden badan bola sepak dunia itu selama 90 hari, sebentar tadi.

Turut dikenakan tindakan sama adalah Setiausaha Agung Fifa Jerome Valcke dan naib presidennya, Michel Platini.

Seorang bekas Naib Presiden Fifa Chung Mong-joon pula digantung selama enam tahun.

Menurut kenyataan dikeluarkan Fifa petang tadi jawatan presiden kini disandang sementara oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Afrika, Issa Hayatou.

Untuk badan pengelola bola sepak Eropah pula tokoh dari Sepanyol, Angel Maria Villar dijangka memangku tugas presiden sepanjang tempoh ketiadaan Platini.

Namun masa depan Platini dan Chung sebenarnya belum gelap sepenuhnya, malah mereka berpeluang menduduki jawatan Presiden Fifa apabila Blatter berundur Februari tahun depan.

Nafi sebarang salah laku

Sementara itu Hayatou dalam kenyataan dibuatnya berkata, dia akan berkhidmat menggalas tugas Blatter untuk sementara waktu dan tidak bercadang mencalonkan diri untuk menjadi Presiden Fifa dalam pemilihan tahun depan.

Menjelaskan keputusan penggantungan itu, jawatankuasa etika berkenaan berkata ia diambil ekoran siasatan dibuat pihak berkuasa terhadap ketiga-tiga tokoh terbabit.

"Sepanjang tempoh penggantungan sementara itu Blatter, Valcke dan Platini dilarang terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak," kata kenyataan itu.

Ketiga-tiga mereka menafikan membuat sebarang salah laku.

Ekoran perkembangan terbaru itu Naib Presiden Fifa dari Britain, David Gill menggesa mesyuarat tergempar diadakan untuk membincangkan isu berkenaan.

Ada agenda politik

Menjawab tindakan itu, panel peguam Blatter berkata, tokoh terbabit "kecewa" terhadap jawatankuasa etika berkenaan kerana tidak mematuhi peraturan sedia ada untuk memberi peluang membela diri.

"Penggantungan ini dibuat berdasarkan salah faham terhadap tindakan Peguam Negara Switzerland," kata mereka.

Chung pula berkata dia tidak terkejut dengan larangan yang dikenakan terhadapnya namun menganggap ia sebagai "salah guna keadilan paling melampau" dibuat jawatankuasa berkenaan.

"Siasatan terhadap saya dibuat atas sebab politik," katanya.

Jawatankuasa Etika Fifa memulakan siasatan terhadap Blatter selepas Peguam Negara Switzerland membuka prosiding jenayah rasuah terhadap tokoh berusia 79 tahun itu.

Blatter dituduh menandatangani kontrak "merugikan" Fifa serta membuat "bayaran ingkar" kepada Platini.

Badan pemantau itu juga membuat siasatan terhadap Platini berhubung bayaran bernilai £1.35 juta (RM8.71 juta) selama sembian tahun selepas bekas pemain kebangsaan Perancis itu membuat kerja perundingan untuk Blatter.

Valcke pula sedang bercuti ekoran laporan media bulan lalu yang mengaitkannya dalam skim penjualan tiket Piala Dunia.

Lihat Komen
ADS