Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
3 daripada 4 gergasi bola dunia tumbang
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 6:25 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Nama besar dan gah tidak menjamin apa-apa kecuali kenangan. Mungkin itu yang boleh dipelajari daripada beberapa perlawanan antarabangsa malam tadi.

Tiga pasukan gergasi bola sepak dunia - Brazil, Argentina dan Jerman - mencatatkan kekalahan pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan saingan kesembilan kelayakan Piala Eropah 2016.

Ketiga-tiga pasukan itu adalah skuad yang berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2014.

Brazil tewas 0 - 2 kepada Chile, begitu juga halnya dengan Argentina yang ditumpaskan Ecuador di gelanggang mereka sendiri.

Sementara itu, Jerman yang juga juara tiga kali Piala Dunia tewas kepada pasukan kurang digeruni, Ireland 0 - 1 dalam saingan kumpulan D kelayakan Piala Eropah 2016.

Bagaimanapun Jerman masih mendahului tangga teratas kumpulan D dengan 19 mata berbeza satu mata dengan Ireland di kedudukan ketiga.

Satu lagi pasukan yang melengkapkan pusingan separuh akhir Piala Dunia 2014 ialah Belanda yang akan turun menentang Kazakhstan pada tengah malam esok bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Eropah 2016.

Neymar pun ada

Kekalahan Brazil dilihat sangat signifikan kerana skuad itu sememangnya membawa reputuasi tinggi, selain diwakili ramai pemain antarabangsa.

Brazil seakan mampu mencuri satu mata daripada perlawanan itu apabila kedudukan terikat tanpa jaringan sehinggalah Eduardo Vargas memecah kebuntuan di minit ke-72.

Vargas adalah bekas pemain Queen Park Rangers yang kini mewakili kelab Jerman, 1899 Hoffenheim.

Gol kedua Chile dijaringkan pemain Arsenal, Alexis Sanchez di minit ke-89.

Salah seorang pemain terbaik dunia, Neymar, diturunkan jurulatih Brazil ketika ini, Dunga.

Lapan daripada 11 pemain utama diturunkan Joachim Low adalah bintang yang membawa Jerman menjadi juara Piala Dunia lalu, termasuk termasuk Mesut Ozil (Arsenal), Marco Reus (Borussia Dortmund), Mario Gotze, Thomas Muller ( gambar ) dan Manuel Neuer (Bayern Munich).

Ireland hidupkan harapan

Namun Ireland yang dikendalikan bekas Pengurus Aston Villa, Martin O’Neil, berjaya mencuri tiga mata penuh melalui rembatan cantik Shane Long (Southampton) hasil serangan pantas pada minit ke-70.

Jaringan itu membuka semula harapan kepada Ireland mendapat tempat dalam saingan Piala Eropah tahun depan.

Di Buenos Aires pula, gawang Argentina dirobek dua kali dalam tempoh hanya dua minit oleh pemain Ecuador.

Frickson Erazo menanduk masuk gol pertama selepas permainan berlangsung tanpa jaringan selama 80 minit.

Melalui gerakan mengejut dan pantas seminit kemudian, pemain kelab Espanyol, Felipe Caicedo menggandakan gol untuk pasukan pelawat.

Tanpa Lionel Messi, Argentina gagal memecah kebuntuan walaupun melakukan 12 percubaan dan menguasai permainan.

Pemain tengah tuan rumah, Lucas Biglia, berkata mereka "tidak sabar" sehingga terleka menyebabkan gawang sendiri dirobek lawan.

"Dan tentunya kami merindui Messi," katanya.

Lihat Komen
ADS