Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di mata jurulatih Datuk Ong Kim Swee, lawan anak buahnya kali ini semakin hebat lebih-lebih lagi pasukan Timor Leste dibarisi ramai pemain naturalisasi.

Bagaimanapun, bagi pengendali sementara skuad Harimau Malaya itu, pasukannya telah melakukan persiapan rapi sebelum sepak mula saingan pusingan kedua kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

"Persiapan kita berjalan dengan baik, di mana kita sampai ke Dili dua hari lepas dan semua mengikut perancangan yang kita mahu lakukan. Saya harap esok kita akan dapat satu perlawanan yang cukup baik.

"Timor Leste bertambah baik, kita nampak mereka mempunyai ramai pemain naturalisasi daripada Brazil dan mereka berjaya mendapat satu mata ketika perlawanan dengan Palestin.

"Itu menunjukkan satu pasukan yang cukup baik, tetapi kita pun menyiapkan diri dengan cukup baik kali," katanya pada sidang media di Dili, hari ini.

Ditanya kekuatan fizikal pemain Timor Leste mungkin menjadi cabaran utama pemain negara, Kim Swee berkata, mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk mengatasinya.

"Tentu mereka mempunyai kelebihan dari segi fizikal tetapi kita ada perancangan kita sendiri, kita sudah bermain dengan pasukan Arab Saudi dan banyak lagi pasukan yang mempunyai fizikal yang lebih besar.

"Tetapi itu bukan satu alasan untuk kita tidak tunjukkan prestasi yang baik dan kita mempunyai kelebihan kita sendiri. Kita mempunyai kekuatan kita dan mereka mempunyai kelemahan mereka sendiri," katanya.

Tegas beliau, apa yang lebih mustahak pemain perlu lebih berdisiplin sehingga tiupan wisel penamat.

Pemain bersedia

Sementara itu, kapten Harimau Malaya Syafiq Rahim menyifatkan mereka perlu bersedia dari pelbagai aspek khususnya taktikal dari awal masa perlawanan.

"Pertama sekali pasukan Timor Leste bukan pasukan yang dahulu, mereka sekarang sudah berbeza. Bagi saya kalau kita ikut arahan taktikal yang jurulatih berikan kita, mungkin akan dapat keputusan yang baik.

"Kita perlu lebih fokus dan lebih disiplin ketika di atas padang, jadi saya harap kita dapat keputusan yang baik esok," katanya.

Syafiq turut berharap kemenangan ke atas Laos pada perlawanan persahabatan Rabu menjadi momentum semangat kepadanya dan rakan-rakan.

"Saya harap moral pemain (meningkat) termasuk saya sendiri dan kita kena bawa momentum kemenangan itu untuk pasukan, kita ada kelebihan dan mereka juga ada kekurangan mereka.

"Jadi saya harap kita dapat beri persembahan lebih 100 peratus esok. Saya percaya pemain-pemain lain mahukan keputusan positif untuk kita berada di landasan yang tepat untuk kelayakan Piala Dunia," katanya.

Lihat Komen
ADS