Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Kemenangan 1 - 0 ke atas Timor Leste disifatkan sebagai peluang untuk Harimau Malaya‎ kembali bernafas dalam saingan peringkat kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Bagi pengendali sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, ‎kemenangan itu cukup penting untuk anak buahnya menamatkan saingan sekurang-kurang di kedudukan ketiga kumpulan.

‎"Penting untuk kita dapatkan kemenangan pertama pada peringkat kelayakan. Seperti yang kita tahu, skuad kebangsaan perlukan kemenangan untuk menghidupkan kembali peluang merebut tempat dalam kedua-dua temasya," kata Kim Swee sejurus tamat perlawanan di Dili, Timor Leste petang tadi.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Kim Swee berkata, barisan pemain negara berdepan cabaran sukar termasuk mengharungi cuaca panas.

Tiga mata amat berharga

"Kita nampak pemain begitu bersungguh-sungguh dan gol yang kita perolehi bagi saya satu gol yang cukup baik dan kita berjaya bertahan sehingga detik akhir perlawanan.

"Saya tidak peduli dengan apa yang berlaku dalam padang sebab yang penting kita dapatkan satu gol dan memperolehi tiga mata penuh," katanya yang mengambil alih tugas selepas peletakan jawatan Dollah Salleh baru-baru ini.

Ditanya mengenai kegagalan anak buahnya meraih lebih banyak jaringan, Kim Swee menyifatkan perkara itu tidak begitu penting.

"Kalau kita dapat tiga gol dan kita dibolosi empat gol kita masih lagi kalah, jadi yang mustahak di sini kita dapatkan kemenangan dan perlu lebih berdisiplin.

"Ini kali pertama kita gagal dibolosi setelah sekian lama. Bahagian pertahanan dan semua pemain membuktikan mereka boleh bertahan dengan corak yang kita rancang," jelas beliau.

‎Sementara itu penjaring gol tunggal, Amri Yahyah berkata, jaringan itu diharap dapat menjadi titik tolak untuk pasukan terus bangkit berdepan perlawanan seterusnya.

"Alhamdulillah kami berjaya mengekang lawan walaupun bermain di tempat mereka. Tiga mata yang berharga dapat kita kutip diharap dapat menaikkan semangat semua pemain," katanya.

Lihat Komen
ADS