Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak menyangka rezeki datang bergolek, pasukan Selangor terpaksa menukar perancangan untuk menghadapi musim 2016 selepas diumumkan layak ke saingan Piala AFC.

Pengurus The Red Giants, Amirudin Shari ( gambar ) berkata, beliau agak terkejut dengan berita itu tetapi pada masa sama menyambut baik apa yang diputuskan FAM selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membuat ketetapan memotong mata Pahang.

Menurut beliau, perancangan pasukan Selangor untuk tahun depan sudah pun dibuat, termasuk mengenai pengambilan pemain import baru.

"Selepas mengetahui perkara ini, kita pastinya akan mengubah perancangan awal untuk menghadapi AFC.

"‎Pastinya Selangor memerlukan perancangan dan persediaan rapi dalam pelbagai aspek terutamanya melibatkan pemilihan pemain," katanya kepada Malaysiakini .

Sebelum ini tempat ke Piala AFC sepatutnya diisi JDT - selaku juara Liga Super 2015 - dan Pahang yang berada di tempat kedua.

Nak sunting pemain

Namun hukuman potong enam mata dikenakan Fifa ekoran kegagalan skuad Tok Gajah membayar pampasan kepada bekas pemain import mereka.

Daripada 44 mata yang dikutip dalam Liga Super musim lalu, Pahang kini hanya memiliki 38 mata - kurang satu daripada Selangor.

Keadaan itu melonjakkan Selangor menjadi Naib Juara Liga Super 2015.

Amirudin berkata, perancangan pemain seperti yang dibuat oleh juara AFC 2015 iaitu JDT perlu diterapkan dalam pasukan Selangor.

"Kita perlu mengklafikasikan pemain tertentu yang akan bermain untuk Piala AFC dan liga tempatan.

"Ini penting kerana cabaran di peringkat Asia dan kejohanan tempatan sangat berbeza," katanya.

Sehubungan itu tambah beliau, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sedang meneliti beberapa pemain untuk disunting ke dalam skuad merah kuning itu.

"Ada beberapa pemain import dalam pemerhatian Selangor terdiri daripada pemain‎ yang sedang beraksi dalam liga tempatan dan luar negara.

"Bagaimanapun, ia masih di peringkat awal kerana buat masa sekarang kita mahu fokus kepada saingan Piala Malaysia 2015," jelasnya.

Lihat Komen
ADS