Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Kamu semua bukan istimewa, kamu semua adalah luar biasa," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi semangat buat kontinjen Malaysia yang akan berangkat untuk menyertai Sukan Para Asean kelapan di Singapura.

Kejohanan itu akan berlangsung antara 3 hingga 9 Disember ini.

Berucap sempena ‎majlis penyerahan Jalur Gemilang di Kompleks Sukan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur hari ini, Khairy berkata, seramai 201 atlet bakal membawa cabaran negara dalam 263 acara pada kejohanan itu nanti.

Secara keseluruhan kejohanan kali ini dijangka menyediakan 476 acara.

‎"Kita nak tanamkan dalam diri atlet dan jurulatih, ke mana kita pergi, kita bukan pergi untuk melancong dan sekadar tunjuk kehadiran kita.

"Ke mana saja kita pergi, kita pergi untuk menang," katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kemenangan atlet paralimpik dalam sebarang kejohanan sama pentingnya dengan atlet biasa.

"Saya akan pastikan kilauan emas daripada atlet di sukan paralimpik adalah sama penting dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, mengulas sasaran kontinjen negara Khairy berkata, pihaknya meletakkan sasaran lebih baik daripada pencapaian pada kejohanan 2013 di Myanmar.

"Sewajarnyalah bahawa dalam setiap penyertaan kita di temasya sukan antarabangsa, kita harus meletakkan matlamat untuk melakukan yang lebih baik sebagai sasaran.

"Atlet paralimpik negara sekarang ini bukan setakat tahap Asia Tenggara, tetapi ada di kalangan atlet kita menjadi juara di peringkat dunia.

"Jadi saya ada harapan yang tinggi untuk melihat mereka mencatat keputusan yang lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Lihat Komen
ADS