Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pembubaran program Harimau Muda oleh FAM dilihat akan memberi lebih banyak pilihan bagi membentuk pasukan ‎negara.

Bagi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, apa yang lebih penting diberi penekanan adalah kewujudan pasukan bola sepak mantap untuk menghadapi Sukan SEA pada 2017 nanti.

‎"Apa yang penting kita (perlu) ada satu pasukan untuk Sukan SEA 2017, sebab matlamat kita untuk menang pingat emas.

"Jadi saya rasa‎ keputusan bagi mengekalkan pasukan untuk Sukan SEA itu jelas - supaya kita dapat buat persiapan awal," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet Sukan Para Asean 2015 di Kompleks Sukan Paralimpik, di Kuala Lumpur hari ini.

FAM melalui mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif semalam mengesahkan program Harimau Muda yang diperkenalkan sejak 2007 dibubarkan selepas mendengar cadangan daripada Pasukan Petugas Khas FAM yang dipengerusikan timbalan presiden badan induk bola sepak negara, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

‎Susulan itu, semua pemain Harimau Muda B dan Harimau Muda C (Bawah 19 tahun) perlu kembali ke negeri kelahiran masing-masing.

Khairy berkata, pembubaran itu dilihat tepat pada masanya, tetapi pasukan negeri dan kelab-kelab mestilah memberi peluang kepada pemain berkenaan.

"‎Tak perlu kita ikatkan sebuah pasukan untuk pemain-pemain muda, cuma kita perlu beri pendedahan melalui pasukan dan kelab.

"Tidak ada keperluan lagi untuk kita belanjakan banyak duit dengan kekalkan sesuatu skuad, tetapi kita perluaskan pilihan daripada pemain muda yang ada dalam negara," jelas beliau yang juga Timbalan Presiden FAM ketika program itu diperkenalkan.

Sementara itu, pencapaian terbaik skuad Harimau Muda B adalah menjuarai Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh Februari lalu. Selain itu tiada pencapaian lain yang membanggakan buat skuda Harimau Muda C yang bersaing dalam Liga FAM musim ini.

Lihat Komen
ADS