Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala Malaysia: Hijau Kuning menaruh harapan di Selayang

Tiada yang lebih manis buat penyokong bola sepak Kedah selain mengulangi kejayaan pernah dicatat pada musim 2008 apabila mereka menjulang tiga kejuaraan sekali gus.

Bagi skuad hijau kuning yang dianggap underdog itu, melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas hampir tujuh tahun berjuang di pentas Liga Perdana sememangnya sesuatu yang membanggakan.

Bakal berdepan Felda United di saingan separuh akhir pertama malam esok, penyokong pasukan itu diyakini akan 'berpesta' di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk memberi sokongan padu buat pasukan kesayangan mereka.

Presiden Kelab Penyokong Hilau Kuning, Nor Hasmadi Hamzah, berkata mereka akan mengerahkan ahli datang dengan rombongan melalui misi "menakluk Stadium MPS".

"Kalau dilihat dengan situasi sekarang, rata-rata rakyat Kedah seperti berpesta meraikan kejayaan pasukan melangkah ke peringkat separuh akhir.

"Semangat seperti zaman kegemilangan Kedah sebelum ini sudah kembali dan pastinya kami akan turut serta dengan perjuangan barisan pemain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini , hari ini.

Terdahulu, Kedah berjaya melangkah ke separuh akhir lepas menewaskan PKNS FC dengan agregat 4-2 di saingan suku akhir walaupun ditimpa insiden 'pengadil kontroversi' .

Tiga bas, tujuh van

Dalam perlawanan peringkat suku akhir kedua Sabtu lalu, pengadil perlawanan dengan membenarkan pemain PKNS FC untuk melakukan sepak mula ketika ada pemain Kedah masih berada di kawasan pasukan lawan meraikan gol kedua Kedah menerusi Sandro Da Silva.

Susulan daripada situasi itu, PKNS FC berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Mohd Faiz Isa pada minit ke-58. Walaupun dibantah dan selepas perbincangan antara kesemua pegawai perlawanan berkenaan, gol tuan rumah itu tetap dikira sah.

enurut Nor Hasmadi, pihaknya menyediakan tiga buah bas, tujuh van dan lebih 10 kenderaan persendirian sebagai sebahagian daripada rombongan dari Kedah untuk memberi sokongan padu pada perlawanan esok.

"Selain rombangan dari pelosok negeri Kedah ke Selayang, saya yakin anak-anak Kedah yang berada di sekitar Lembah Klang akan turut menyemarakkan sokongan," katanya.

Mengulas mengenai prestasi anak buah Tang Cheng Heo ( gambar ), menurut Nor Hasmadi, kejayaan menewaskan PKNS FC di peringkat suku akhir sebelum ini bakal menjadi momentum kebangkitan untuk mara ke pentas akhir.

"Mereka telah buktikan kemampuan dengan mendominasi permainan di gelanggang lawan, dan bertemu Felda United kita beraksi di padang yang sama ketika menewaskan PKNS FC.

"Bagaimanapun, menjadi cabaran kepada Kedah apabila ramai pemain dikatakan mengalami kecederaan selepas menentang PKNS FC tempoh hari.

"Selain itu, kita juga tidak boleh menafikan kehebatan pasukan lawan yang berjaya menewaskan JDT," jelas beliau.

Namun tambah Nor Hasmadi, rata-rata penyokong begitu yakin dengan kemampuan barisan pemain Kedah untuk sekali lagi meraih kejayaan di Selayang.

"Dengan semangat dan sokongan penuh daripada semua pihak, saya lihat Helang Merah akan beraksi dengan persembahan terbaik di tempat lawan.

"Kita juga mempunyai bonus apabila perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium darul Aman pada 6 Disember nanti," katanya.

Selain itu, Kelab Penyokong Hijau Kuning turut berharap pihak pengurusan penganjur Piala Malaysia khususnya FAM dapat menyediakan pengadil perlawanan yang terbaik.

"Kami harap, insiden ketika perlawanan menentang PKNS FC Sabutu lalu tidak berulang lagi. FAM perlu sediakan pengadil yang lebih bijak untuk mengawasi perlawanan penting seperti ini," kata Nor Hasmadi.

Lihat Komen
ADS