Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pasukan yang masih berhutang gaji pemain mungkin disingkirkan dari liga jika gagal menyelesaikan tunggakan berkenaan sehingga pertengahan musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata langkah penyingkiran itu adalah antara hukuman yang boleh dikenakan jika kemelut berkenaan berterusan.

Beliau juga berkata, tiga pasukan yang berhutang itu diberi tempoh 90 hari bermula selepas pihaknya mengadakan pertemuan rasmi tidak lama lagi.

"Mereka (pasukan berhutang) mempunyai tempoh 90 hari untuk menyelesaikan masalah dengan pemain-pemain terlibat.

"Pasukan berkenaan boleh dikenakan potongan mata dalam liga atau disingkir dari liga semasa," katanya pada sidang media selepas pelancaran Anugerah Pemain Bulanan Terbaik di Subang, hari ini.

‎Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan ada tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain membabitkan jumlah kira-kira RM4.32 juta pada musim lepas.

Ia melibatkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan dan Felda United‎.

Malaysiakini turut menyiarkan laporan berkenaan semalam.

Untuk makluman FMLLP adalah syarikat yang diberi hak mengurus dan mengendalikan Liga M mulai tahun ini.

Bertemu tapi tak rasmi

Kevin berkata, kegagalan melunaskan hutang gaji pemain memberi imej buruk kepada Liga M dan khuatir keadaan menjadi lebih serius sekiranya Fifa campur tangan nanti.

"Sudah tentu apa-apa berita negatif akan memberi kesan (kepada bola sepak negara).

"Kita tak perlu membuka pintu kepada pihak luar untuk memberi komen sebelum kita merasakan kesannya.

"Liga M dalam proses penswastaan dan ini adalah usaha untuk meletakkan liga kita sebagai produk yang dipandang berharga dari segi penajaan dan penyiaran‎," katanya.

Jika kemelut semasa berterusan, kata Kevin, tidak mungkin kancah bola sepak negara dimartabatkan.

Katanya, keadaan itu sukar dicapai kerana penaja atau agensi penyiaran akan menilai liga bola sepak Malaysia sama ada ia sesuai atau tidak untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu dalam perkembangan sama Kevin memberitahu beliau telah bertemu dengan salah satu pengurusan pasukan terlibat tetapi ia bukan secara rasmi.

"Saya akan menghantar surat kepada pasukan-pasukan terlibat, kemudian kami akan tetapkan tarikh kepada mereka supaya diselesaikan dengan pemain terlibat.

"Apa yang penting pengurusan pasukan perlu bertemu dengan pemain untuk berbincanga sekiranya kaedah tertentu boleh dipersetujui bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS