Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mungkinkah jersi yang diperkenalkan di lapangan terbang akan menjadikan JDT menerkam dengan jajaran yang betul atau tidak adalah etik yang menarik untuk ditonton pada malam ini.

Atau, jersi yang ditayangkan dengan gah buat pertama kali di pusat beli belah akan lebih gagah menendang bola ke jaring gol lawan?

Bagaimana pula dengan jersi merah jambu? Mungkin pemain Kelantan belum putih atau kurus, tetapi apakah skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors benar-benar disuntik aura "mujur ada Pomoga"?

Rehat panjang sudah berakhir. Malam ini bermulalah episod persaingan Liga Super 2016 selepas kita dihidangkan pelbagai cerita gelisah sepanjang tempoh pramusim kali ini.

Ada cerita gaji pemain dan jurulatih yang tertunggak, penaja tarik diri, penetapan syarat penajaan itu ini, polemik cara pelancaran jersi, perlawanan persahabatan sehinggalah kepada isu pertukaran presiden persatuan.

Juara Liga Super tahun lalu (JDT) akan bertemu juara Piala Malaysia 2015 dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Larkin.

Apa yang dicari

Sesuai dengan status pasukan gergasi Selangor dan JDT diwakili ramai pemain berstatus bintang berbanding pasukan lain. Walaupun ia bukan jaminan tetapi perlawanan JDT - Selangor 'sangat menjanjikan'.

Selain itu, aksi pasukan PQPTRW (susahnya nak menyebut nama pasukan ini!) turut menjadi tumpuan selepas bergelut dengan isu transformasi sepanjang pramusim.

Dengan suntikan penaja yang begitu komited untuk melakukan perubahan pada pasukan itu, Kelantan menumbuhkan harapan besar kepada penyokong mereka yang sentiasa memenuhi stadium.

Anak buah K Devan akan berdepan Perak di Stadium Bandaraya Ipoh malam ini.

Selain itu ada juga perlawanan lain. Pahang melayan T-Team di Stadium Darul Makmur, Terengganu menunggu Pulau Pinang di Gong Badak dan PDRM mempertaruhkan nama menunggu asakan Sarawak di Stadium Hang Jebat di Melaka.

Jangan lupa juga bertanya: Apa yang kita cari di Liga Malaysia? Adakah kualiti bola sepak yang semakin baik atau sekadar kemegahan?

Saya percaya, penyokong bola sepak tempatan bukan hanya mahu melihat siapa menang, siapa kalah atau siapa seri, tetapi mahu melihat bagaimana setiap pasukan itu menterjemahkan strategi permainan masing-masing.

Penajaan bernilai jutaan ringgit tidak menjadi berguna jika di atas padang, hantaran bola pemain asyik tersasar, larian hambar, tahan bola pun tidak sempurna, kemudian memberi alasan itu ini untuk mengabsahkan kelemahan diri.

Kita perlu sedar, pemain dan jurulatih dalam Liga M bukan bertaraf amatur.

Sekurang-kurangnya, biarlah peminat akan cakap, "kalah pun puas hati sebab perlawanan mantap!"

Ada kesungguhan pemain. Masa dan sumber yang dikeluarkan peminat dibalas dengan sesuatu yang bermakna, bukan sekadar retorik 90 minit setiap malam perlawanan.

Lihat Komen
ADS