Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Ramuan perisai skuad The Red Giant ternyata masih ampuh untuk menahan terkaman Harimau Selatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Pada aksi sepak mula Liga Super 2016 itu menyaksikan pasukan tuan rumah lebih rancak menghantar serangan ke kawasan Selangor.

Perancangan JDT dilihat begitu menarik perhatian penonton dengan pergerakan dan hantaran kemas antara pemain seawal separuh masa pertama.

Tidak terlalu terburu-buru, skuad juara Liga Super 2015 mengatur serangan dengan magis tersendiri dan persembahan lebih matang bagi mengelirukan pasukan lawan.

Barangkali inilah kelas dan perubahan baru dalam arena bola sepak negara dan sebagai juara Piala AFC tahun lalu, JDT semakin mengorak langkah membuktikan permainan mereka - cantik.

Tetapi tidak begitu mudah untuk mereka membolosi gawang Selangor yang dikawal Norazlan Razali sehinggalah minit-minit terakhir separuh masa pertama melalui tandukan Hariss Harus, sekali gus menggegarkan stadium dengan sorakan peminat.

Pemain import dari Singapura itu bijak bertindak keluar dari kepungan pemain lawan sekali gus menyudahkan hantaran berpunca dari sepakan penjuru kapten JDT, Syafiq Rahim.

Sementara Selangor agak lemas dengan aksi kurang konsisten dan kurang persefahaman antara pemain.

Berlarutan ke penalti

Sentuhan Zainal Abidin Hassan kurang menjadi, sekurang-kurang jika dilihat jentera pertahanan Selangor yang masih longgar khususnya selepas ketua pasukan mereka, Shahrom Abdul Kalam yang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, ketinggalan 1-0 tidak mematahkan harapan untuk Selangor merencana semula permainan di separuh masa kedua.

Tampil lebih agresif, mencipta ruang dan peluang dengan menggunakan kelincahan pemain posisi tengah menyaksikan Selangor lebih segar selepas kembali dari bilik persalinan.

Hafiz Kamal kemudian menudukkan ego JDT apabila sepakan bebas disempurnakan untuk meletakkan kedudukan seri 1-1 di minit ke-60.

Justeru, hanya satu mata berjaya dikutip kedua-dua pasukan gergasi itu.

Sementara itu, keputusan seri 1-1 berlarutan ke saingan penalti demi menentukan pemenang Piala Sumbangsih 2016. Kemudian kemenangan pun memihak kepada pasukan tuan rumah dengan jaringan 6-5.

Pemain yang bertanggungjawab memberikan kemenangan pula tidak lain adalah Mohd Azrif Nasrulhaq yang pernah mencetuskan 'ketegangan' antara Selangor dan JDT suatu ketika dulu.

Keputusan lain perlawanan Liga Super 2016 13 Februari

  • JDT 1 - 1 Selangor
  • Felda United 2 - 0 Kedah
  • PDRM 1 - 0 Sarawak
  • Pahang 2 - 2 T-Team
  • Perak 0 - 0 Kelantan
  • Terengganu 1 - 0 Pulau Pinang

Lihat Komen
ADS