Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, suasana kali ini agak sepi apabila tiada sambutan dibuat oleh mana-mana badan induk sukan negara untuk membuat kiraan detik atau countdown 100 hari menjelang tibanya temasya Sukan Olimpik.

Semalam menandakan genap 100 hari sebelum bermulanya temasya sukan terbesar dunia itu yang bakal membuka tirainya di Rio de Janeiro, Brazil pada 5 Ogos depan.

"Bukan kita tidak mahu adakan majlis countdown itu. Sememangnya MOM (Majlis Olimpik Malaysia) sedia maklum dengan peristiwa penting itu.

"Kita tidak dapat adakan majlis itu kerana kebanyakan atlet yang sudah melayakkan diri kini sedang menjalani latihan dan menyertai pertandingan di luar negara," kata setiausaha agung MOM, Datuk Low Beng Choo kepada Bernama.

Menurut Low, masih ramai lagi atlet negara sedang mencari peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Katanya kebanyakan persatuan sukan sudah merencana program latihan masing-masing khusus kepada atlet mereka termasuk mengadakan latihan penyesuaian di beberapa negara benua Amerika sebelum bermulanya Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

"MOM sentiasa memantau dan mendapatkan maklumat terkini daripada persatuan-persatuan sukan yang terlibat dan kita akan cuba pastikan ada atlet yang telah layak ke Sukan Olimpik ada di Malaysia untuk majlis penyerahan Jalur Gemilang nanti," katanya.

Bagaimanapun, tarikh majlis penyerahan Jalur Gemilang itu belum ditetapkan lagi.

Sehingga kini, 12 atlet negara telah melayakkan diri secara merit ke temasya itu diterajui pemenang pingat gangsa edisi 2012 yang juga ratu terjun, Pandelela Rinong, yang menjadi atlet pertama Malaysia yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

Turut mengiringinya ialah Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang dan Nur Dhabitah Sabri (terjun); Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal); Jonathan Wong (menembak); Welson Sim (renang); Khairul Anuar Mohamad (memanah) serta Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin (pelayaran).

Jumlah itu mungkin akan bertambah sehingga Julai ini kerana ia belum termasuk pemain badminton negara yang tempoh kelayakan Olimpik mereka akan tamat hujung bulan ini.

Sukan lain yang masih mencari peluang ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro ialah memanah berpasukan, golf, olahraga dan angkat berat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS