Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Impian perenang OKU Syria tercapai di Athens
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 9:45 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Dua belas tahun lalu dia bagaikan melekat di depan televisyen di rumahnya di Syria ketika menyaksikan temasya Sukan Olimpik Athens 2004.

Acara yang sentiasa dinanti-nantikannya ialah renang.

Kini Ibrahim Al-Hussein sendiri berada di Athens tetapi bukan sebagai atlet seperti yang diimpikannya malah sebagai pelarian perang.

Dan Ibrahim bukan seperti Ibrahim 12 tahun lalu. Kini dia adalah orang kurang upaya. Persamaan antara kedua tempoh itu cuma satu - cinta Ibrahim kepada sukan renang masih utuh.

Menjelang Olimpik Rio yang bakal berlangsung 5 hingga 21 Ogos ini Ibrahim cukup bertuah kerana terpilih menjadi antara pembawa obor sukan.

Dia akan mewakili puluhan ribu pelarian yang kini mendapatkan perlindungan di Greece.

Kongsi rasa dengan pelarian

Sebagai persediaan dia berlatih setiap hari.

"Saya menjadi atlet renang selama 22 tahun dan apabila saya membawa obor itu nanti, saya banggsa berasa seolah-olah menyertai sendiri sukan Olimpik," katanya.

Dia ditemui AP di sebuah kolam renang di Athens kelmarin. Di situ lah sebahagian daripada aksi Sukan Olimpik 2004 yang disaksikan Ibrahim dulu dilangsungkan.

Sama seperti atlet lain, kepercayaan diberi oleh penganjur untuk membawa obor Olimpik adalah penghormatan yang amat bermakna.

Bagi Ibrahim pula, kebanggaan itu tidak hanya untuk dirinya malah sepatutnya turut dikongsi seluruh pelarian perang Syria yang mencari perlindungan di Eropah.

"Cuma saya bukan sekadar pelarian perang, tetapi juga seorang atlet," katanya.

Ibrahim, 27, menerima obor sukan Olimpik itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Greece, Spyros Capralos, semalam di Kem Elaionas yang menempatkan kira-kira 1,500 pelarian serta imigran lain.

Di samping menjadi perenang Ibrahim juga pernah menyertai sukan bola keranjang dan judo.

Sementara itu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa berkata pemilihan Ibrahim adalah sokongan simbolik pertubuhan itu kepada krisis pelarian global.

Simpan rahsia sendiri

Mereka juga bercadang membenarkan sekumpulan lima hingga 10 pelarian menyertai temasya di Rio de Janeiro Brazil nanti.

Obor Olimpik itu dinyalakan pada 21 April lalu di kawasan Olympia, selatan Greeceyang menjadi tempat kelahiran sukan Olimpik.

Ia dijadual tiba di Brazil pada 3 Mei dan dibawa berlari di seluruh negara itu oleh kira-kira 12,000 orang sebelum digunakan untuk menyalakan obor Sukan Olimpik 2016 pada 3 Ogos di Stadium Maracana.

Dibesarkan di bandar Deir ez-Zor di pinggir Sungat Furat, Syria Ibrahim mula diajar berenang oleh bapanya sejak dia berusia lima tahun.

"Sungai Furat terletak kira-kira 10 minit berjalan dari rumah saya. Biasanya saya akan berenang di situ sejauh lima hingga 10 kilometer sebelum bermain-main dengan kawan lain," katanya.

Perang di Syria bukan saja memusnahkan tempat kelahirannya malah dia kehilangan kaki kanan ekoran letupan bom pada 2012.

Mula-mula Ibrahim menuju Turki sebelum menyeberang ke Pulau Samos di timur Greece awal 2014 menaiki bot getah bersama 16 orang lain.

Tidak seperti kebanyakan pelarian Ibrahim memilih untuk menetap di Greece dan mendapatkan suaka di negara itu.

Dia bertuah kerana memperoleh sebuah rumah, pekerjaan dan boleh berlatih berenang tiga kali seminggu selain bermain bola keranjang dengan berkerusi roda di sebuah kelab tempatan.

Pada jam 5 petang setiap hari dia mula bekerja di sebuah kafeteria. Pada hari tertentu waktu kerjanya boleh berlarutan sehingga lebih 10 jam.

Dia juga menyimpan rahsia sendiri.

"Tiada jiran atau rakan saya tahu mengenai kecacatan saya.

"Saya tidak menganggap saya cacat sebaliknya saya melihat diri ini sebagai manusia normal," katanya.

Ibrahim juga tidak bercadang kembali ke Syria - walaupun selepas perang di negara itu berakhir.

Lihat Komen
ADS