Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala FA: Kedah diuji di 'padang bendang'
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 7:51 PM
Dikemaskini: Apr 30, 2016 2:58 AM

Menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FA malam esok, pasukan Kedah yang akan menentang JDT terlebih dahulu diuji secara mental.

Ia susulan keadaan padang yang seakan bendang untuk menjadi tempat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mengadakan persiapan akhir petang tadi.

Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Tajul Ariffin Kamal Baharin mendakwa kualiti padang latihan untuk pasukan pelawat (Kedah) bertaraf bendang.

"Kualiti padang training untuk pasukan pelawat, kelas A bendang style.

"Akhirnya ditukar dari padang Stadium Tunku Aminah ke padang Dataran Johor Bahru," katanya melalui tulisan di Facebook sebentar tadi.

Tulisan tersebut dilihat mengundang kekecewaan kepada penyokong Helang Merah kerana layanan pasukan tuan rumah dianggap tidak wajar.

Pemerhatian melalui gambar yang dimuat naik mendapati padang tersebut kelihatan ditakungi air kemungkinan akibat hujan.

Bagi penyokong Kedah mereka membuat pelbagai tafsiran terhadap insiden berkenaan.

Ahmad Shahrani Musa menyifatkan, keadaan tersebut merupakan serangan psikologi ke atas pasukan Kedah.

"Serangan psychology yang pertama," komennya pada status akaun Facebook Tajul Arifin.

Siti Leyhaz Baharom pula berkata: "Tergamak (tuan rumah) bagi padang macam bendang. Mentang-mentanglah anak jelapang padi boleh buat noh (ya)," katanya.

Pemilik akaun Facebook Ir Ahmad Shari pula kelihatan kecewa dengan keadaan berkenaan.

"Padang (tuan rumah) bertaraf dunia, takkan padang (untuk Kedah) macam ni," katanya.

Bagaimanapun belum dapat dipastikan bagaimana insiden itu boleh terjadi. Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen daripada pihak yang berkenaan untuk penjelasan lanjut.

Sementara itu, semakan pagi ini mendapati status Tajul Arifin itu telah dipadam.

Lihat Komen
ADS