Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Keluhan Annuar untuk skuad Kelantan
Diterbitkan:  May 2, 2016 12:58 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa kecewa susulan tidak banyak pihak tampil membantu pasukan bola sepak negeri itu.

Annuar berkata, Kelantan merupakan pasukan yang menggunakan modal kecil dan paling miskin dalam pentas Liga Super 2016.

"Satu-satunya pasukan yang pengurusan terpaksa terus-menerus mencari tajaan yang belum mencukupi untuk perbelanjaan tahun ini.

"Satu lagi tahun yang sukar. Malangnya tak ramai yang membantu," kata ahli parlimen Ketereh itu.

Pada awal musim lalu, Kelantan dilihat bakal menjadi pasukan gah lebih-lebih lagi selepas disuntik penajaan daripada syarikat kosmetik Vida Beauty Sdn Bhd bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim.

Bagaimanapun kini, sejak akhir-akhir ini Kafa seolah ditimpa badai yang didakwa ekoran wujudnya masalah dalaman yang turut melibatkan isu penajaan Vida Beauty.

Annuar menjelaskan, skuad The Red Warriors belum mampu membentuk pasukan berkualiti dengan pelbagai kekurangan yang wujud.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk terus bertahan dalam liga nombor satu di Malaysia itu akan terus dilakukan agar tidak menerima nasib seperti pasukan hebat lain yang jatuh merudum.

"Dari segi prestasi kini di tangga kelima selepas sembilan perlawanan dengan jaringan ketiga terbanyak dan masih belum kalah di gelanggang sendiri.

"Setakat ini tewas tiga kali di gelanggang lawan berdepan T-Team, Pahang dan Kedah. Dua lagi perlawanan untuk pusingan pertama musim ini akan bertemu Felda United dan Selangor.

"Kedua-duanya ditempat lawan, atas kertas kita bakal tewas kedua-duanya dan bakal menamatkan pusingan ini dengan 12 mata saja. Tapi Kelantan ada kalanya mampu membuat kejutan," kata Annuar.

Sementara itu, anak buah K Devan kini mengumpul 12 mata selepas mencatatkan tiga kali kemenangan, tiga seri dan juga tiga kekalahan.

Lihat Komen
ADS