Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini menafikan KFA akan membeli bekas pemain Barcelona, Ricardo Quaresma seperti dilaporkan dalam media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata isu pembelian pemain itu yang dikatakan dengan yuran perpindahan bernilai RM1.9 juta tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat KFA.

"Saya ingin beritahu ia hanyalah khabar angin sahaja," kata Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar kepada pemberita selepas pelancaran Kerja-kerja Undi 1 Kedah Untuk Penyelenggaraan Jalan Negeri Kedah, di Alor Setar hari ini.

Ketika ditanya tentang pemain penyerang dari Brazil, Carlos Eduardo de Souza Floresta atau Carlos Kahe yang mempamerkan permainan hambar sekaligus dilihat gagal membantu skuad Kedah, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kita ambil pemain import kerana ingin lihat peningkatan pasukan Helang Merah dalam setiap perlawanan tetapi sekiranya ia tidak membantu ... kalau perlu buat perubahan, kita akan lakukan bagi memastikan prestasi skuad Kedah sentiasa cemerlang," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berharap skuad Kedah tidak hilang semangat juang walaupun tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu dengan kiraan agregat 4-3.

"Masa JDT bertandang ke Stadium Darul Aman lalu mereka tewas kepada kita, tetapi Sabtu lalu kita pula tewas kepada mereka.

"Dalam perlawanan, kalah menang itu biasa, jadi saya harap semua pemain tidak patah semangat untuk bermain dengan bersungguh-sungguh dalam perlawanan akan datang," katanya.

Lihat Komen
ADS