Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Leicester legenda abadi, inspirasi pada semua
Diterbitkan:  May 3, 2016 9:50 AM
Dikemaskini: 1:58 AM

Seorang peminat tegar Leicester benar-benar puas. Dia memang yakin kelabnya akan berjaya. Dan seperti kebanyakan orang dia bertaruh £2 untuk The Foxes menjadi juara EPL kali ini.

Di sebuah pub, dia ketawa besar mengenangkan laba diperolehnya - £10,000 - sejurus selepas perlawanan antara Tottenham Hotspur dan Chelsea berakhir awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Di Jalan Granby, Hamza Bodhaniya melewatkan waktu permulaan operasi kedai minumnya untuk membolehkan penyokong Leicester meraikan detik luar biasa itu.

Kelab Leicester dinobatkan sebagai juara EPL musim 2015/2016.

Sesetengah mereka menikmati minuman istimewa Vardy-cino, air cappucino yang dituang cairan cokelat bagi membentuk imej Jamie Vardy.

Bandar Leicester tetap berdebar-debar menantikan keputusan perlawanan Spurs - Chelsea yang berlangsung di Stamford Bridge.

Selepas terlepas peluang mencipta sendiri kejuaraan dengan mengatasi Manchester United di Old Trafford semalam, Leicester mempunyai peluang kedua menjadi juara sebelum menamatkan dua perlawanan terakhir mereka.

Apa yang diperlukan Leicester ialah Spurs tidak menjadi pemenang di Stamford Bridge. Masalahnya ialah, itu yang terpancar daripada perlawanan berkenaan.

Semua ikuti dengan debar

Harry Kane membuka jaringan di minit ke-35 sebelum pemain berasal dari Korea Selatan Son Heung-min melebarkan jurang dengan gol kedua di minit ke-44.

Pada minit ke-58 Gary Cahill memberi sedikit harapan apabila menjadikan kedudukan 1-2.

Leicester perlukan Spurs - pencabar terdekat mereka - kalah atau seri untuk menjamin kedudukan mereka muncul juara.

Hampir semua orang di Leicester City mengikuti perlawanan itu dengan debar, daripada datuk bandar hingga ke kakitangan gereja setempat.

Debaran menjadi lebih kencang sehinggalah perlawanan berbaki kira-kira tujuh minit apabila Eden Hazard membawa kegembiraan ke Leicester City. Bandar itu bergegar dengan sorakan keriangan.

Pun begitu masih ramai yang seakan tidak percaya selepas wisel penamat ditiup pengadil di Stamford Bridge.

Leicester City bukan lagi bandar yang biasa sejak sehari dua lalu. Bandar itu menjadi biru yang luar biasa.

"Terima kasih Chelsea. Rasanya seluruh dunia kini mengenali kami," kata Sally Handerson dengan suara penuh beremosi.

Apa selepas ini

Deepak Gohil pula salah seorang daripada 1,600 pemilik tiket yang dibenarkan menonton perlawanan Leicester - United semalam di dalam Stadium King Power.

"Saya bawa anak ke stadium dengan harapan melihat Leicester mengalahkan United tetapi kami sekadar seri. Tetapi saya tahu kami akan menang juga dengan cara lain," katanya.

Kejayaan Leicester kali ini memang amat mengejutkan. Di awal musim pengendali pertaruhan meletakkan nisbah 1:5,000 untuk peluang The Foxes menjadi juara.

Tanpa nama besar, pengurus yang tidak glamor seperti Jose Mourinho atau Jurgen Klopp, sSiapa berani meletakkan harapan kepada kelab sesederhana Leicester itu.

Leicester menjadi kelab baru pertama - selain United, Liverpool, Chelsea atau Arsenal - muncul juara EPL dalam tempoh 38 tahun ini.

Siapakah pemain bernama Vardy (gambar) sebelum ini?

Tiada sesiapa mengenali penyerang Leicester itu ketika dia baru tiba selepas dibeli daripada kelab bawahan, Fleetwood Town FC berpangkalan di Lancashire.

Bekas pemain England dan Liverpool Jamie Carragher secara tegas menganggap kelab itu sebagai legenda hidup.

"Leicester memberi harapan dan semangat kepada semua," katanya dalam rancangan Monday Night Football.

Sebelum ini, kata Carragher saingan bola sepak bagaikan hanya berlegar di sekitar kelab elit dan pasukan lain sekadar menjadi skuad yang melengkapkan sesebuah liga.

"Tiada sesiapa menjangkakan ini. Anda mula terfikir - apa lagi yang boleh berlaku selepas ini?" katanya.

Carragher juga bersependapat dengan Pengurus Arsenal Arsene Wenger.

"Wenger betul apabila berkata tiada seorang pun pemain Leicester lahir di atas permaidani merah (analogi tentang nama-nama besar dalam dunia bola sepak).

"Kini mereka semua ada cerita yang boleh dikisahkan mengenai kejayaan ini," katanya.

"Berapa harga dibayar Leicester untuk Riyad Mahrez? Kemudian ada pemain tengah yang bagus, iaitu N'Golo Kante.

"Mereka semua menjadi inspirasi kepada semua. Mereka adalah legenda sepanjang masa," kata Carragher.

Lihat Komen
ADS