Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Kuala Lumpur kembali menerajui kedudukan teratas Liga Perdana selepas mencatat kemenangan selesa 5-1 ke atas pasukan tercorot liga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Kemenangan keenam daripada 10 perlawanan menyaksikan skuad 'The Hawks' kendalian Ismail Zakaria mengumpul 21 mata.

Walaupun berkongsi mata dengan Melaka United, Kuala Lumpur berada di puncak Liga Perdana menerusi kelebihan jaringan.

Lima gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Helmi Remeli pada minit ke-12, Hafiz Johar (14'), Casagrande (33' dan 48') serta Leo Carioca (47') manakala gol tunggal ATM dijaringkan oleh Venice Elphi pada minit ke-21.

Melaka United pula turun satu anak tangga ke kedudukan kedua liga selepas mengalami kekalahan pertama musim ini, tewas 1-2 kepada Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

R. Surendran mengejutkan Perlis menerusi gol seawal minit pertama perlawanan sebelum Perlis bangkit menjaringkan dua gol menerusi dua pemain import iaitu Kayne Vincent pada minit ke-88 dan Edward Junior Wilson, selang seminit kemudian.

Negeri Sembilan pula turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga setelah seri 2-2 menentang Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua gol skuad Rusa dijaringkan oleh Andrew Nabbout pada minit ke-41 dan Joel Joseph Chianese (minit ke-69) manakala dua gol Sabah dihasilkan oleh Maxsius Musa pada minit kelima dan Ummareng Bacok pada minit ke-80.

Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pula naik satu anak tangga ke kedudukan keempat liga setelah menang tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, hasil jaringan sepakan penalti yang disempurnakan Paulo Rangel pada minit ke-53.

Negeri Sembilan dan JDT II berkongsi 19 mata namun Negeri Sembilan berada di tangga ketiga menerusi kelebihan jaringan.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, wakil kelab PKNS FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 4-4 ketika menentang wakil Pahang, Kuantan FA.

Matias Nicholas Hadwa meledak jaringan hatrik untuk PKNS FC menerusi gol pada minit ke-16, minit ke-54 dan minit ke-61 selain gol daripada Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-41.

Empat gol Kuantan FA disumbang oleh Dao Bakary pada minit ketujuh, Srdjan Vidakovic (minit ke-15), Hazwan Fakrullah Zuridi (minit ke-49) dan Mohamad Shafiq Razali pada minit ke-76.

Terdahulu PKNS FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah kapten pasukan Abdul Ghani Abd Rahman dilayangkan kad merah oleh pengadil, Kamaruzaman Soeed kerana mengasari pemain Kuantan FA, Mohd Kamal Rodiarjat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS