Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala FA: FMLLP bawa 1,000 kanak-kanak ke stadium
Diterbitkan:  May 5, 2016 10:00 PM
Dikemaskini: 2:29 PM

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam menafikan firma itu menyekat keghairahan bola sepak dengan tidak memperuntukan tiket kanak-kanak bagi perlawanan akhir Piala FA 2016.

Beliau berkata, tidak wajar tuduhan tersebut dibuat hanya kerana FMLLP memperkenalkan hanya satu kategori tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir pada 14 Mei ini.

“Ketika tiket kanak-kanak dijual sebelum ini kurang daripada tiga peratus terjual," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) tampil mempersoalkan FMLLP yang tidak menjual tiket untuk kanak-kanak sempena perlawanan akhir Piala FA pada 14 Mei ini.

Kevin berkata, FMLLP sentiasa berusaha menjalankan pelbagai program untuk menarik golongan muda meminati bola sepak tempatan.

“Sebagai contoh untuk perlawanan akhir ini, kami anjurkan program khas untuk 1,000 kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan enam hingga 12 tahun secara percuma. Ini adalah inisiatif bersama rakan rasmi kami dalam menjayakan program ini.

"Kanak-kanak ini akan diberikan pendedahan dan merasai sendiri pengalaman di Stadium Shah Alam pada hari perlawanan akhir itu nanti.

“Mereka berpeluang melihat dari belakang tabir bagaimana pengurusan perlawanan akhir itu berlangsung selain boleh berjumpa pemain," jelasnya.

Kempen #SayNoToHooliganism

Beliau berkata, program seumpama itu dilihat lebih efektif memupuk minat golongan kanak-kanak berbanding jika mereka hanya duduk di kerusi penonton.

Tambahnya, program itu juga selari dengan kempen dijalankan FMLLP iaitu #SayNoToHooliganism untuk mendidik penonton bola sepak supaya tidak melakukan perkara negatif ketika menyaksikan perlawanan.

Program tersebut akan bermula dari seawal jam 3 petang mengikut segmen yang telah disediakan dengan kerjasama penaja utama, Superbest Power.

Kevin turut menjelaskan, harga tiket bagi perlawanan akhir itu ialah RM50 dan bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah percuma.

Sebanyak 50,000 tiket diperuntukkan buat penyokong JDT dan boleh mula dibeli dari 9 Mei hingga 11 Mei di Stadium Larkin.

Lihat Komen
ADS