Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Lima pemain layak galas cabaran negara di Rio

Buat pertama kalinya, skuad badminton negara akan menghantar pasukan yang lengkap dalam Sukan Olimpik Rio 2016 selepas kesemua lima pemain dalam lima kategori layak bertanding.

Berdasarkan "Race to Rio Rankings" dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia menerusi laman sesawangnya, www.bwfbadminton.org.today, Datuk Lee Chong Wei berada di tempat kedua manakala Goh V Shem/Tan Wee Kiong menduduki tempat kesembilan.

Turut layak ialah pemain perseorangan wanita utama, Tee Jing Yi (ke-18), pemain beregu wanita Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei di tempat ke-12 manakala Chan Peng Soon/Goh Liu Ying di tempat kelapan.

Berdasarkan peraturan BWF, hanya tempat 36 teratas dalam acara perseorangan dan 16 beregu dalam Race to Rio Rankings, layak bertanding di kejohanan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) yang dihubungi Bernama, berbangga dengan kejayaan kelima-lima pemain negara meraih tiket ke Sukan Olimpik Rio berdasarkan ranking.

Beliau pada masa turut menjelaskan BWF akan mengeluarkan senarai penuh pemain yang layak dalam kelima-lima kategori berkenaan ke temasya sukan berkenaan, 9 Mei ini.

"Pemain badminton negara membuktikan kecemerlangan mereka sehingga layak beraksi ke Sukan Olimpik.

"Chong Wei serta Chan Peng Soon/Goh Liu Ying merupakan contoh terbaik dengan mempamerkan prestasi cemerlang dan saya berharap agar dua pemain ini ada peluang meraih kedudukan podium di Sukan Olimpik nanti," kata Mohamad Norza.

Pada Sukan Olimpik London 2012, Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara beregu wanita apabila Chin Ee Hui-Wong Pei Tty tidak dapat melayakkan diri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS