Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengasas D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menafikan beliau pernah 'mengejar tanah' di Kedah sebagai syarat untuk menaja pasukan bola sepak Helang Merah.

Menurut beliau, kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa hak milik rakyat negeri itu tergadai jika mereka menerima tajaan D'Herbs adalah tidak benar.

"Melalui perbincangan sebelum ini pembangunan tanah tersebut dipersetujui dibuat melalui usahasama dengan anak syarikat negeri Kedah.

"Tanah tersebut melibatkan projek terbengkalai dan dicadangkan kepada saya untuk dibangunkan secara kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)," katanya pada sidang media di Wisma D'Herbs, Kota Damansara, hari ini.

Malaysiakini pada 5 Mei lalu menyiarkan laporan mengenai kenyataan Ahmad Bashah mengenai keputusan KFA menolak tawaran tajaan dikemukakan D'Herbs.

Kata Ahmad Bashah beliau memikul tanggungjawab selaku presiden KFA dan menteri besar mesti memastikan hak rakyat negeri itu "tidak tergadai".

Katanya, permintaan "luar jangkaan" syarikat yang ingin menaja Kedah terpaksa ditolak menjaga kepentingan negeri Kedah.

Media pula melaporkan D'Herbs mengemukakan 49 syarat kepada KFA. Antaranya melibatkan tanah seluas 60 hektar di Jabi, Pokok Sena yang dianggarkan kini bernilai kira-kira RM80 juta.

Aliff Syukri berkata, cadangan pembangunan Bandar D'Herbs di tanah tersebut datang daripada pihak KFA sendiri.

"Itu hanya melibatkan cadangan pembangunan tanah tersebut. Hasilnya adalah untuk memajukan ekonomi negeri Kedah," katanya.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS