Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengekori rapat pendahulu Liga Super, Felda United, apabila menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, malam tadi.

Gol tunggal JDT dijaringkan Safee Sali pada minit terakhir perlawanan membolehkan JDT mengumpulkan 24 mata, sama dengan Felda United selepas 10 perlawanan, tetapi dipisahkan dengan kelebihan jaringan.

Safee sebelum itu dimasukkan pada minit ke-79 bagi menggantikan Hariss Harun selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan jaringan.

Skuad Harimau Selatan memperoleh peluang terbaik pada minit ke-20 menerusi tendangan percuma Aznie Taib, tetapi gagal disempurnakan tandukan Juan Martin Lucero.

Pelawat bangkit menyerang menerusi percubaan Mohd Failee Mohamad Ghazli pada minit ke-26 tetapi ia tetap gagal menggegarkan gawang JDT.

Lucero sekali lagi hampir berjaya menjaringkan gol pertama JDT tetapi tendangannya pada minit ke-37 terkena tiang gol.

Ketiadaan kapten, Safiq Rahim kerana digantung satu perlawanan, sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan skuad Harimau Selatan.

Safiq digantung perlawanan setelah mendapat kad kuning kedua ketika menentang Kedah di Stadium Darul Aman akhir bulan lepas.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan seri tanpa jaringan, sentuhan Safee melegakan tuan rumah bagi memastikan tiga mata milik mereka.

-Bernama

Lihat Komen
ADS