Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Van Gaal 'dipaksa' ucap selamat tinggal kepada MU
Diterbitkan:  May 23, 2016 7:33 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Pengurus Manchester United (MU), Louis Van Gaal dilaporkan dipecat daripada jawatannya sejurus selepas dia bertemu naib pengerusi eksekutif kelab itu, Ed Woodward.

Dalam pertemuan di Kompleks Latihan AON hari ini, jurulatih dari Belanda itu dikhabarkan dilepaskan daripada jawatan digalasnya sejak dua tahun lalu itu.

Mengikut kontrak asal, Van Gaal sepatutnya mempunyai baki satu musim lagi bersama MU dan kontrak beliau ditebus kelab itu selepas bersedia untuk membawa bekas pengurus Chelsea Jose Mourinho bersama skuad The Red Devil.

Kakitangan kejurulatihan di bawah kendaliannya juga dikatakan dikeluarkan dari Old Trafford bagi memberi laluan kepada Mourinho menentukan sendiri pembantunya dalam usaha kelab itu menggapai impian menjadi juarai EPL.

Dalam pertemuan dengan Woodward itu, Van Gaal turut ditemani peguam Persatuan Pengurus Liga, Paul Gilroy sebagai pemudah cara dalam proses 'penyingkiran' pengurus tersebut.

Gilroy juga adalah orang yang sama bertanggungjawab ketika proses pemecatan David Moyes yang bertugas di Old Trafford selama 10 bulan sehingga April 2014.

Musim pertama mengemudi MU, beliau sekadar meletakkan kelab gergasi England itu keempat EPL tanpa sebarang trofi. Mereka juga gagal untuk mara ke separuh akhir termasuk kejohanan domestik.

Bagi musim ini, Van Gaal terpaksa berpuas hati di tangga kelima dan kejayaannya membawa Piala FA Ahad lalu tidak berjaya mempengaruhi pengurus kelab bagi mengekalkan posisi beliau.

Prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu di bawah pimpinan Van Gaal juga tidak terlepas daripada kritikan pemerhati dan penyokong mereka.

MU juga hanya menjaringkan 49 gol di liga utama musim ini dan antara rekod terendah yang dicatat mereka sepanjang era EPL. Jumlah itu hanya berbeza satu jaringan mengatasi Sunderland yang hampir tersorot ke zon penyingkiran musim ini.

Lihat Komen
ADS