Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kim Swee: Aksi berdepan Myanmar ukur prestasi Malaysia

Aksi persahabatan menentang Myanmar di tempat lawan pada 27 Mei ini, adalah platform terbaik mengukur persiapan skuad Harimau Malaysia sebelum berdepan Timor Leste pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019, awal bulan depan.

Malaysia dan Timor Leste akan berentap pada perlawanan kalah mati itu pada 2 dan 7 Jun ini, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee menyifatkan perlawanan menentang Myanmar penting dalam membentuk skuad yang mantap sebelum berdepan Timor Leste.

"Perlawanan dengan Myanmar satu ujian untuk kita atur strategi terbaik sebelum menentang Timor Leste nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pemain sayap Selangor, R. Gopinathan dan pemain pertahanan Pahang, Matthew Davies, masing-masing mengalami kecederaan kaki dan belakang sebaik melaporkan diri, namun keadaan mereka tidak serius.

"Saya akan menilai laporan daripada doktor pasukan berhubung kecederaan kedua-dua pemain sehingga esok.

"Sekiranya mereka masih belum pulih, saya akan buat pertukaran dengan melihat pemain daripada senarai menunggu atau pemain bukan daripada senarai menunggu untuk menggantikan tempat mereka," kata Kim Swee.

Sementara itu, pemain tengah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Abdul Latiff Suhaimi yang dipanggil ke sesi latihan pusat kebangsaan buat pertama kali, bertekad merebut tempat dalam kesebelasan utama walaupun sedar berdepan saingan sengit daripada pemain lain di bahagian tengah.

"InsyaAllah, saya akan berusaha keras untuk mendapatkan tempat dalam pasukan.

"Bagi saya, prestasi bersama PDRM setakat ini belum cukup, dan saya berharap Datuk Ong dapat membantu memperbaiki kelemahan saya," kata Abdul Latiff.

Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri pula menyasarkan untuk kembali semula ke puncak prestasi selepas bergelut dengan kecederaan sebelum ini.

"Sebelum ini, saya kurang menyerlah disebabkan baru pulih daripada kecederaan dan saya berharap dapat menemui semula sentuhan (jaringan) apabila dipanggil ke latihan pusat kali ini.

"Saya tidak letakkan sebarang sasaran peribadi cuma berharap dapat membantu memulihkan maruah skuad kebangsaan dengan mencatat kemenangan pada perlawanan selepas ini," kata Ahmad Hazwan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS