Paling Popular
Terkini

Diundi berada dalam kumpulan A untuk saingan Piala Malaysia 2016 ia dilihat memberi kelebihan - di atas kertas - untuk Kedah melangkah lebih jauh kali ini.

Untuk saingan kali ini Naib Juara Piala Malaysia 2015 itu diundi bersama T-Team, Sarawak dan JDT II.

Berdasarkan prestasi semasa, anak buah Tan Cheng Hoe hanya mencatat dua kekalahan sepanjang aksi Liga Super setakat ini, malah berjaya berada di kedudukan kelima selepas 12 perlawanan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak mahu mendabik dada sebaliknya bersikap merendah diri dengan menilai keputusan undian tersebut sebagai seimbang.

"Ya di atas kertas mungkin nampak kelebihan memihak kepada Kedah. Saya rasa (saingan) dalam kumpulan A seimbang, semua pasukan berpeluang layak ke suku akhir," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Kata Cheng Hoe, Kedah tetap memerlukan kekuatan dari aspek mental dan fizikal untuk kekal beraksi dalam Piala Malaysia dan Liga Super.

Sementara itu ditanya kemungkinan berlaku rombakan dalam skuad Helang Merah sempena terbukanya jendela perpindahan di pertengahan musim ini, Cheng Hoe berkata, Kedah bakal menggunakan khidmat pemain import baru.

Enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu, beliau bagaimanapun menegaskan tiada sebarang perpindahan melibatkan pemain tempatan.

Kedah sebelum ini dilaporkan bakal menamatkan dua pemain import mereka iaitu Carlos Eduardo De Souza atau Kahe, dan Sandro Da Silva kerana gagal menyerlah seperti diharapkan.

Lihat Komen
ADS