Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Karius sah milik Liverpool
Diterbitkan:  May 25, 2016 11:59 AM
Dikemaskini: 4:37 AM

The Kop mengesahkan pasukan itu sudah berjaya mengikat penjaga gol Loris Karius dengan kontrak selama lima tahun.

Karius, 22, sebelum ini bermain untuk kelab Bundesliga, Mainz.

Dengan usianya yang masih muda Karius dianggap antara penjaga gol paling berbakat di Jerman dan ketangkasannya menarik perhatian Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Karius adalah pemain baru ketiga dibawa ke Anfield oleh Klopp selepas Joel Matip (Cameroon) dan Marko Grujic (Serbia).

Kenyataan kelab itu menyebut Karius menandatangani kontrak bernilai £4.7 juta (RM28.2 juta)

Mengikut perancangan Karius akan memakai jersi bernombor 1 untuk Liverpool.

Dengan kehadiran Karius, kedudukan penjaga gol utama The Kop kini akan ditentukan oleh kemampuannya bersaing dengan pemain sedia ada, Simon Mignolet.

Dua lagi penjaga gol Liverpool, Adam Bogdan dijangka akan dilepaskan manakala Danny Ward dikatakan bakal dipinjamkan ke kelab Huddersfield sepanjang musim akan datang.

Untuk makluman hubungan jiwa Klopp dengan Mainz dikatakan masih utuh selepas dia menghabiskan masa mengasuh kelab berkenaan antara 2001 hingga 2008.

Klopp kemudian berpindah untuk menguruskan kelab Borrussia Dortmund.

Lahir di Biberach an der Riss, selatan Jerman Karius dikatakan penjaga gol terbaik negara itu selepas Manuel Neuer.

Bagaimanapun dia dijangka terlepas aksi pertama Liverpool pada musim akan datang kerana disenaraikan bersama skuad bola sepak Jerman di Olimpik Rio di Brazil.

Menjelang permulaan musim baru Klopp dilaporkan sedang memburu sekurang-kurangnya dua lagi pemain baru - Ben Chilwell, pertahanan Leicester City dan Mahmoud Dahoud (pemain tengah Borussia Monchengladbach).

Pemain antarabangsa Poland Piotr Zielinski juga dilaporkan berminat berpindah dari Udinese ke Anfield, namun seorang lagi bintang yang diburu Klopp, Mario Gotze (Bayern Munich) belum menunjukkan sebarang tanda positif.

Lihat Komen
ADS