Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penajaan wang tunai berjumlah RM30 juta bagi penganjuran temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata di peringkat pertama, pihaknya sudah mendapat lima penaja utama yang akan diumumkan bulan depan.

"Kami sudah dalam peringkat akhir menandatangani kontrak penajaan," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Sports Pitch 2016, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pembentangan yang dihadiri syarikat-syarikat swasta tempatan dan antarabangsa itu bertujuan untuk meraih penajaan bagi aset-aset sukan negara.

Khairy menjelaskan aset-aset sukan itu termasuk atlet negara, Anugerah Sukan Negara, Hari Sukan Negara, Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan, FitMalaysia dan temasya sukan berprestij seperti Sukan SEA.

"Selepas melakukan transformasi, kami bersedia menawarkan beberapa peluang penajaan kepada syarikat swasta untuk mereka masuk dan menaja program serta pembangunan sukan yang boleh membawa pulangan besar kepada mereka.

"Sebelum ini, syarikat swasta menaja atas dasar CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang seolah-olah tidak membawa sebarang pulangan tapi sekarang terbukti dengan adanya persidangan ini, sukan adalah bisnes," katanya.

Mengulas mengenai persiapan Sukan SEA, Khairy berkata Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan dijadikan gelanggang acara sukan dalam dewan.

Pemilihan KLCC sebagai salah satu gelanggang adalah bagi menarik minat penduduk ibu negara yang juga peminat sukan untuk memberi sokongan kepada kontinjen negara di temasya dwitahunan nanti.

- Bernama

Lihat Komen
ADS