Paling Popular
Terkini

Usaha ratu skuasy negara Datuk Nicol David menjuarai buat kali ketiga Final Siri Dunia PSA tersekat apabila kalah di peringkat separuh akhir di kejohanan yang diadakan di Burj Park, Dubai pada Jumaat (awal Sabtu di Malaysia).

Beliau yang menang dua kali dan kalah sekali dalam Kumpulan A tewas 1-2 (5-11, 11-8 dan 8-11) kepada pemain nombor tiga dunia dari Mesir, Raneem El Welily.

Nicol merupakan juara bagi musim 2011/12 dan 2012/13.

"Dalam set pertama, Raneem terus memberi tentangan dan saya kembali menguasai permainan pada set kedua. Saya terus mengatasinya dalam set ketiga, tetapi beliau kemudian telah melakukan pukulan-pukulan terbaiknya," katanya dalam laman web kejohanan www.worldseriesfinals.com.

Raneem akan bertemu pemain nombor dua dunia dari England, Laura Massaro dalam perlawanan akhir hari ini.

Massaro menewaskan pemain Mesir, Nour El Sherbini 2-0 (12-10 dan 11-6) dalam satu lagi perlawanan separuh akhir sebelum mara ke final.

Seramai lapan pemain lelaki dan wanita beranking dunia PSA berentap bagi menentukan juara untuk musim 2015/16.

- Bernama

Lihat Komen
ADS