Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tinju mungkin diketepikan dari Olimpik Rio
Diterbitkan:  May 28, 2016 4:49 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Persatuan Tinju Antarabangsa (Aiba) tidak melakukan sebarang ujian antidoping di luar pertandingan sepanjang tahun lalu, dan hanya sekali pada 2014.

Keadaan itu meletakkan tinju dalam risiko diketepikan daripada acara di Sukan Olimpik di Rio de Janeiro antara 5 hingga 21 Ogos ini.

Amalan melakukan ujian rambang dari semasa ke semasa perlu dilakukan mengikut peraturan Agensi Antidoping Dunia (Wada) dan tidak saja terhad kepada sukan tinju malah merangkumi acara lain.

Lawatan Wada ke Ibu Pejabat Aida Disember lalu menunjukkan ujian di luar pertandingan hampir tidak pernah diadakan langsung sejak Olimpik 2012 diadakan di London.

Laporan menunjukkan program antidoping Aiba dianggap tidak dilaksanakan mengikut kod ditetapkan Wada.

Wada bagaimanapun mengesahkan Aiba adalah satu daripada lebih 10 persekutuan antarabangsa yang disiasat untuk memastikan mereka mematuhi kod etika antidoping.

Namun Wada enggan menamakan persekutuan sukan lain yang disiasat atas alasan ia masih dimuktamadkan.

Data 2014 pula menunjukkan amalan itu memang jarang dilaksanakan bagi sukan tempur atau bela diri.

Persekutuan Taekwondo Dunia misalnya, sekadar menjalankan satu ujian antidoping di luar kejohanan pada 2014, manakala Persekutuan Judo Dunia melakukan enam ujian pada tahun sama.

Jurucakap Wada berkata ujian antidoping begitu ditekankan kepada Aiba dan tiada kompromi mengenainya.

"Perlu diingatkan menjadi tanggungjawab Aiba memastikan polisi antidoping benar-benar dilaksanakan," katanya.

Lihat Komen
ADS