Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Nasib Giggs bersama MU diketahui tak lama lagi
Diterbitkan:  May 31, 2016 5:48 PM
Dikemaskini: 11:42 AM

Ryan Giggs dijangka pulang daripada percutiannya hari ini untuk bertemu dengan pengurus baru Manchester United, Jose Mourinho, dan membincangkan masa depannya bersama kelab berkenaan.

Untuk rekod hubungan Giggs dengan MU berlangsung sejak hampir 29 tahun lalu.

Dia mula mencurah bakti dan keringat kepada kelab itu sejak berusia 14 tahun.

Media melaporkan Giggs, 42, menghabiskan masa sepanjang minggu lalu di Dubai untuk bercuti sambil memikirkan percaturan masa depannya dalam bola sepak.

Difahamkan MU menawarkan tugas kepadanya sebagai penghubung antara pasukan utama dan skuad bawah 21 tahun.

Tidak dapat dipastikan sama ada Giggs akan kekal di Old Trafford namun penganalisis berpendapat dia akan mendengar sendiri penerangan daripada Mourinho sebelum membuat keputusan muktamad.

Semalam Moudinho bertemu dengan pengarah MU - dan tokoh yang selalu kritikal kepadanya - Bobby Charlton.

Media melaporkan Charlton menyambut mesra kedatangan Mourinho ketika kedua-duanya bertemu di kompleks latihan MU di Carrington.

Mourinho dilaporkan secara ramah meminta Charlton jangan terlalu awal memberikan ucapan tahniah kepadanya.

England musnah harapan Portugal

Sebaliknya kata bekas pemain Portugal itu Charlton hanya boleh meraikannya selepas MU mula memenangi perlawanan mereka. 

Kedua-dua mereka juga sempat ketawa hasil jenaka Mourinho.

"Negara kamu memusnahkan impian kami pada 1966," katanya merujuk kepada kemenangan England mengatasi Portugal dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia tahun berkenaan.

Dua gol jaringan Charlton itulah yang menyekat kemaraan Portugal ke perlawanan akhir Piala Dunia. Perlawanan itu berkesudahan England menang 2-1.

England kemudian muncul juara apabila menumpaskan Jerman Barat 4-2.

Selepas menjadi antara pemain penting MU, Giggs berkhidmat sebagai jurulatih ketika kelab itu di bawah David Moyes. 

Apabila MU diletakkan di bawah Louis van Gaal jawatan Giggs dinaikkan sebagai penolong pengurus.

Namun kedatangan Mourinho menyebabkan masa depan Giggs tidak menentu. 

Biasanya seseorang pengurus akan tiba ke sesebuah kelab membawa bersama pegawai yang digemari mereka untuk menjadi kakitangan sokongan di sebalik tabir.

Lihat Komen
ADS