Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Setia Vardy di Leicester City
Diterbitkan:  Jun 23, 2016 5:26 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Leicester City mengakhiri spekulasi mengenai masa depan penyerangnya, Jamie Vardy.

Pemain kebangsaan England berusia 29 tahun itu dilaporkan sudah bersepakat untuk terus berkhidmat dengan kelab lamanya untuk tempoh empat tahun lagi.

Justeru, putuslah harapan kelab lain yang cuba menagih kehebatan Vardy.

Sebelum ini, Arsenal antara pasukan yang menonjol untuk memiliki pemain itu. Malah skuad The Gunners sudah menawarkan gaji yang lebih lumayan berbanding yang dibayar Leicester sebelum ini.

Arsenal dilaporkan membuat tawaran bernilai £20 juta (RM118 juta) untuk pembelian Vardy dengan tawaran gaji mingguan £120,000 (RM706,112) dan pengurusan Leicester dilaporkan tidak berminat menolak.

Jumlah tersebut dua kali ganda lebih besar berbanding gaji yang diperolehi di Leicester sejak menandatangani kontrak baru pada Februari lalu.

"Leicester City hari ini telah menyetujui kontrak baru dengan wakil Vardy selama empat tahun.

"Kedua-dua pihak berharap pengumuman ini akan mengakhiri spekulasi masa depannya dan dia menjamin komitmen jangka panjang bersama Leicester City," tulis kenyataan rasmi kelab tersebut seperti dilaporkan BBC.

Sepanjang musim lalu, Vardy tampil cemerlang dengan menjaringkan 24 gol dalam 36 perlawanan EPL sekali gus membawa Leicester City mengukir sejarah menjuarai trofi tersebut buat kali pertama.

Persembahan mengagumkan oleh Vardy turut berlanjutan bersama skuad England.

Dia berjaya menyumbang satu gol untuk The Three Lions pada aksi kumpulan B Euro 2016 ketika England menentang Wales.

Lihat Komen
ADS