Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kontinjen negara sasar 30 emas di AUG Singapura
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 10:13 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

Sehari selepas umat Islam menyambut Aidilfitri tahun ini, barisan atlet negara bagi Sukan Universiti Asean (AUG) ke-18 di Singapura akan berjuang dalam usaha meraih sasaran 30 pingat emas.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, seramai 213 atlet akan menggalas cabaran negara dalam 13 daripada 16 acara yang dipertandingkan pada temasya bermula 8 Julai depan.

Bagaimanapun katanya, sasaran kali ini adalah paling rendah berbanding semua penyertaan negara pada edisi AUG sebelum ini.

"Sasaran kita kali ini tak boleh hebat sangat, jumlah pingat emas yang kita hendak rebut cuma 150 daripada 13 jenis sukan yang disertai.

"Ramai atlet hebat kita tidak mengambil bahagian kerana terlibat dengan persiapan ke Sukan Olimpik Rio. Jumlah 13 acara yang kita sertai juga rendah berbanding 20 acara pada temasya di Palembang, Indonesia sebelum ini," katanya selepas penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG, Prof Madya Dr Asri Selamat di Putrajaya, semalam.

Idris berkata, apa yang lebih penting pihaknya menyasarkan 30 peratus atlet negara terdiri daripada penuntut universiti.

Menurut beliau, pada Sukan SEA lalu 51 peratus sumbangan pingat yang dibawa pulang kontinjen negara melalui kejayaan atlet universiti.

"Ini menunjukkan peranan penting atlet universiti dan merekalah yang akan membawa kecemerlangan (sebagai) atlet-atlet negara di peringkat lebih gemilang pada masa akan datang," katanya.

Pada temasya yang berlangsung sehingga 19 Julai nanti, hanya 450 pingat menjadi rebutan atlet negara dalam 13 acara disertai.

Sementara itu Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, melalui 13 acara itu Malaysia berpeluang merebut 150 pingat emas berbanding yang disasarkan hanya 30 pingat itu.

"Sasaran itu kurang daripada temasya di Palembang sebelum ini kerana bilangan acara yang dipertandingkan juga kurang.

"Di palembang dulu kita ada 20 acara kali ini hanya tinggal 16 sahaja dan kita ambil bahagian dalam 13 acara," katanya.

Lihat Komen
ADS