Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Pasukan gergasi bergaya melangkah ke suku akhir
Diterbitkan:  Jun 27, 2016 7:57 AM
Dikemaskini: Jun 27, 2016 12:05 AM

Tiga lagi pasukan mengesahkan tempat ke suku akhir apabila menjinakkan lawan masing-masing pada aksi malam tadi.

Tanpa perlu menunggu masa tambahan, penentuan sepakan penalti atau mengharapkan jaringan sendiri, perlawanan malam tadi tidak kurang dramatiknya.

Pasukan tuan rumah misalnya dikejutkan dengan jaringan awal lawan di Stade des Lumieres.

Ireland diberikan tendangan penalti pada minit kedua akibat kelicikan ‎pemain Southampton, Shane Long, yang memanfaatkan kedudukannya di depan Paul Pogba untuk terjatuh dalam kotak penalti.

Tendangan penalti itu disempurnakan dengan baik oleh Robbie Brady untuk meletakkan Ireland di depan.

Ireland terus memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah sekurang-kurangnya sehingga separuh masa pertama tamat.

Seorang pemain dua gol

Bagaimanapun skuad Les Bleus‎ tetap membuktikan keunggulan mereka di depan penyokong sendiri pada 45 minit kedua.

Dengan penguasaan 76 peratus permainan pada 15 minit pertama separuh masa kedua, ‎Perancis melakukan serangan tanpa henti ke kawasan Ireland.

Antoine Griezmann muncul sebagai wira skuad bimbingan Didier Deschamps. Kali pertama dia - yang tidak dikawal pertahanan lawan - mudah menanduk bola umpanan silang ‎Bacary Sagna ke penjuru kanan gawang Ireland untuk gol penyamaan pada minit ke-58.

Cuma tiga minit berselang, Griezmann menyumbang gol kedua melalui tendangan derasnya melepasi jangkauan penjaga gol Darren Randolph.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu pada satu lagi aksi di Stade Pierre Mauroy, Lille menyaksikan juara dunia, Jerman turut menempah tiket ke suku akhir selepas menundukkan Slovakia 3-0.

Dalam perlawanan tidak seimbang itu anak buah Joachim Low menguasai permainan seawal minit pertama.

Dengan kemenangan bergaya itu, anak buah Low bakal bertemu pemenang antara Itali dan Sepanyol untuk melangkah ke babak separuh akhir.

Hungary gagal bersaing

Slovakia ternyata bukan lawan sebenar Jerman, seawal minit kelapan gawang mereka dirobek rembatan leret Jerome Boateng untuk kedudukan 1-0.

‎Jerman mencipta peluang mengadakan jaringan pada minit ke-13 apabila mengadil menghadiah sepakan penalti, namun sepakan oleh Mesut Ozil berjaya ditepis penjaga gol, Matus Kozacik.

Bagaimanapun, skuad juara dunia itu berhasil mencipta gol kedua sebelum tamat separuh masa pertama.

Mario Gomez dengan mudah menolak masuk bola ke gawang Slovakia susulan umpanan cantik Julian Draxler pada minit ke-43.

Separuh masa kedua bersambung menyaksikan Draxler melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya dengan gol ketiga pada minit ke-63.

Satu lagi aksi awal pagi tadi menyaksikan kejayaan besar Belgium menjinakkan Hungary dengan jaringan 4-0.

Selepas gagal menyinar dengan baik, perlawanan itu memberi ruang kepada Eden Hazard mempamerkan kemahirannya seperti yang biasa disaksikan dalam perlawanan peringkat kelab.

Hungary memang bertungkus-lumus bertahan dan mencari gol namun berdepan dengan kelab dibarisi ramai 'bintang' mengehadkan nasih pasukan berkenaan.

Gol Belgium disumbangkan oleh Toby Alderweireld pada minit ke-10, Michy Batshuayi (minit ke-78), Hazard (minit ke-79) dan Yannick Carrasco (minit 91 masa kecederaan).

Keputusan perlawanan malam tadi menyaksikan gergasi bola sepak dunia tetap membuktikan penguasaan mereka sekali gus menyingkirkan pasukan yang dianggap underdog.

Lihat Komen
ADS