Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Wimbledon hilang seri tanpa kelibat Maria
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 2:00 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Suka atau tidak, ada sesuatu hilang daripada kemeriahan kejohanan tenis Wimbledon yang sedang berlangsung di London sekarang.

Selain susuk fizikalnya yang dirindui, turut terasa hilang ialah jeritan dan gumam atlet berambu perang dari Russia, Maria Sharapova ketika dia membuat servis atau membalas pukulan lawan.

Memang sejak beberapa tahun lalu ada aduan terhadap 'bunyi' yang dikeluarkan Maria ketika perlawanan berlangsung.

Namun kini penonton bagaikan tercari-cari bunyi sama untuk memeriahkan kejohanan tahunan berprestij itu.

'Kehilangan' Maria bukanlah disebabkan keinginannya sendiri, sebaliknya kerana terpaksa.

Dia sedang menjalani hukuman gantung selama dua tahun selepas didapati positif mengambil bahan larangan - dikenali sebagai meldonium.

Sementara Maria, 29, memang membuat rayuan dia dipercayai bercadang menghabiskan masa melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard.

Ketika atlet lain tiba di Wimbledon hujung minggu lalu Maria memuat naik gambarnya di luar Sekolah Perniagaan Harvard, dengan keterangan gambar: "Tidak pasti bagaimana ia terjadi, tetapi hey Harvard! Tak sabar untuk memulakan program ini!"

Mesej Maria adalah jelas - dia lebih daripada sekadar pemain tenis.

Sebenarnya Maria dan Wibledon adalah dua nama yang membawa makna besar.

Pada 2004 di gelanggang itulah Maria mencipta nama sebagai juara wanita ketika dia baru saja berusia 17 tahun.

'Mangsa' Maria ialah seorang gergasi tenis yang sehingga kini masih bertahan, Serena Williams.

Sokong hukuman diteruskan

Malangnya dengan sabitan kesalahan mengambil bahan larangan, Maria bukan saja tidak dibenarkan memasuki gelanggang tenis malah Kelab All England sedang mempertimbangkan kemungkinan membatalkan keahlian seumur hidupnya yang dinikmati ketika ini.

Pengulas sukan BBC Andrew Castle semalam berkata, kehilangan Maria memang dirasai kerana atlet itu masih berdaya saing dan mampu muncul juara.

"Pada masa sama ia juga menunjukkan sukan tenis memandang isu dadah dan bahan larangan dengan amat serius.

"Saya fikir hukuman gantung dua tahun itu wajar dikekalkan," katanya kepada harian Telegraph.

 

 

Sementara itu beberapa peminat menyatakan mereka tidak akan menonton kejohanan Wimbledon kali ini kerana tiada kelibat Maria.

Memang Maria mempunyai pengaruh besar - sama ada di dalam atau di luar gelanggang - dan ia tidak terhad kepada peminat sukan semata-mata.

Selain berbakat, dia juga susuk yang popular untuk syarikat besar mengiklankan produk masing-masing.

Dianggarkan pendapatan tahunan Maria ialah sebanyak kira-kira £19 juta (RM103 juta) daripada pelbagai jenama seperti Nike, Evian, Head dan barangan penjagaan kulit Supergoo.

Produk Maria sendiri, Sugarpova dijual di lebih 30 negara. Di Instagram Maria mempunyai seramai 1.8 juta pengikut, selain tiga juta lagi di Twitter.

Kejohanan Wimbledon tahun ini - juga edisi kali ke-130 - berlangsung  dari 27 Jun hingga 10 Julai.

Juara bertahan ialah Novak Djokovic bagi kategori perseorangan lelaki dan Serena Williams untuk kategori perseorangan wanita.

Lihat Komen
ADS