Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Maradona kecewa Messi mengalah awal
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 2:22 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona membantah keputusan drastik Lionel Messi untuk bersara daripada mewakili pasukan kebangsaan negara itu.

Kata Maradona masih terlalu awal untuk Messi mengambil ketetapan berkenaan kerana usianya masih sesuai mewakili negara itu di kejohanan Piala Dunia 2018.

Katanya, Messi baru berusia 31 tahun kalau terus beraksi untuk Argentina di Moscow nanti.

"Messi perlu bertahan dengan pasukan kebangsaan. Dia akan pergi ke Russia dengan prestasi terbaik untuk menjadi juara dunia," katanya.

Semalam Messi mengumumkan tidak lagi bermain untuk negaranya selepas Argentina kecundang kepada Chile dalam perlawanan akhir Piala Copa America.

Bintang Barcelona itu juga gagal membantu Argentina dalam tiga perlawanan akhir lain sebelum ini.

Sementara itu, kekecewaan Messi, 29, juga dikatakan berpunca kritikan umum yang menyifatkan dia hanya cemerlang bersama pasukan kelab.

Justeru, Maradona yang juga bekas pembimbing Argentina menegaskan supaya semua pihak menghentikan kritikan terhadap Messi demi kebaikan bola sepak negara berkenaan.

"Messi juga perlu mengabaikan mereka yang mendesaknya bersara.

"Dia perlu bersama dengan orang yang mahu memajukan pasukan‎," jelasnya.

Selain‎ isu pengunduran Messi, bola sepak Argentina juga sedang bergolak dengan isu penyelewengan dana dan campur tangan kerajaan.

Susulan itu, Fifa membuat keputusan untuk mengambil alih pentadbiran Persekutuan Bola Sepak Argentina.

Lihat Komen
ADS