Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sigur Ros bagai bermimpi lihat kejayaan Iceland
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 4:06 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Ketika Iceland bertarung melawan Austria pada 22 Jun lalu Georg Holm memilih untuk duduk agak tersorok di sebuah pub di Covent Garden, London.

Demi menyaksikan perlawanan itu Holm rela pulang lewat menaiki tren akhir sebelum menaiki bas ke Glastonbury untuk mengadakan persembahan pada malam Jumaat.

Holm ialah pengasas kumpulan rock digelar "paling cool" di dunia, Sigur Ros, kerana ketiga-tiga anggotanya berasal dari Reykjavík, Iceland.

Kata Holm dia memang agak kenal dengan kemampuan skuad kebangsaan Iceland kerana sering mengikuti perlawanan mereka dari semasa ke semasa.

"Sukar untuk bercakap secara jujur tentang kemampuan mereka," katanya.

Justeru tidak mudah untuk menonton perlawanan Iceland - Austria itu ketika harapan Holm bagai terawang-awang antara harapan dan realiti.

Sejak tiga tahun lalu Holm dan anggota lain Sigur Ros banyak menghabiskan masa dalam studio untuk menyiapkan projek muzik mereka.

Holm hanya sesekali dapat dilihat orang ramai ketika menjadi pelakon undangan dalam siri Game of Thrones dan The Simpsons.

Sigur Ros baru saja menerbitkan video untuk single mereka, Ovedur (Ribut) pada minggu lalu.

Susah nak percaya

Dalam keadaan begitu Holm bagaikan bermimpi melihat skuad kebangsaannya mengalahkan Austria 2-1.

"Sebagai rakyat Iceland saya menjerit-jerit sekuat hati. Saya rasa semua orang dalam pub itu takut melihat keadaan saya," katanya dilaporkan The Telegraph.

Kemenangan Iceland itu membolehkan mereka melangkah ke pusingan 16 terbaik dan diundi bertemu England.

Awal pagi tadi Iceland sekali lagi melakar sejarah apabila menundukkan pasukan England 2-1.

Iceland adalah sebuah negara kecil dengan keluasan kira-kira 103,000 kilometer persegi dan didiami hanya kurang daripada 333,000 orang.

Dua per tiga daripada penduduk Iceland tertumpu di ibu negara, Reykjavik.

Negara itu lebih dikenali dengan kewujudan banyak gunung berapi.

Suhu purata tahunan Iceland adalah antara 1.9 hingga 7 darjah Celsius.

Kata Holm dia memang peminat tegar bola sepak dan turun ke stadium pada hampir semua perlawanan kelayakan Euro 2016 yang diadakan di negaraya.

"Ia memang sukar untuk dipercayai apabila anda melihat pemain Iceland bermain sebaik itu," kata penyokong Liverpool itu.

Sebelum ini, kata Holm, Iceland memiliki ramai pemain hebat namun gagal bertindak secara berpasukan seperti sekarang.

Sementara itu seorang lagi anggota Sigur Ros, Orri Pall Dyrason, mengakui dia hampir-hampir menjadi pemain bola sepak.

Bapa pemain dram itu Dyri Gudmundsson adalah bekas pemain kebangsaan Iceland.

Lihat Komen
ADS