Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Jerman mahu ubah sejarah bertemu Itali
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 11:31 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Menjelang pertemuan penting menentang Itali pada awal pagi Sabtu ini, tidak nampak sebarang kebimbangan pada kem Jerman.

Semalam kelihatan mereka menghabiskan masa bermain bola tampar bagi mengisi hari cuti diberi pengurus Jerman Jaochim Low.

Untuk rekod, fakta ini mungkin boleh menjadi asas kebimbangan penyokong Jerman: Jerman sentiasa kalah kepada skuad Azzuri itu ketika mereka bertemu di peringkat kalah mati semua Piala Dunia dan Piala Eropah.

  • Separuh akhir Piala Dunia 1970
  • Perlawanan akhir Piala Dunia 1982
  • Separuh akhir Piala Dunia 2006 (walaupun ketika itu Jerman menjadi tuan rumah)
  • Separuh akhir Euro 2012

Pada pertemuan terakhir Euro mereka empat tahun lalu Jerman tumpas 0-2 kepada Itali.

Namun Low menegaskan skuad Jerman tiada mengalami sebarang trauma berdepan Itali pada saingan suku akhir Euro ini.

Jerman menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan Slovakia 3-0, manakala Itali menyingkirkan juara bertahan, Sepanyol dengan 2-0.

‎Pada Euro edisi kali ini, Jerman dan Itali dilihat mempunyai jentera kebal di posisi pertahanan. Rekod Jerman setakat ini menunjukkan gawang mereka belum pernah dibolosi mana-mana pasukan.

Bagi Itali pula mereka mempunyai Gianluigi Buffon sebagai penjaga gol yang merekodkan belum lagi melepaskan sebarang gol untuk beberapa lama.

Ketika gawang Itali dibolosi satu-satunya gol pada Euro kali ini - oleh pemain Ireland - pasukan itu menurunkan penjaga gol kedua mereka, Salvatore Sirigu.

Justeru pertembungan kedua-dua pasukan kali ini dilihat peluang untuk Jerman memadamkan badi mereka bertemu Itali dalam lapan perlawanan kejohanan utama dunia sebelum ini.

Low sendiri memahami rasa pedih dikalahkan Itali.

Bukan Azzuri biasa

Ketika Piala Dunia 2006 Low - masih sebagai penolong jurulatih Jerman - terpaksa menelan pahit melihat skuadnya ditundukkan Itali 0-2 hasil jaringan pada masa tambahan.

Satu lagi kekalahan berlaku ketika Low sudah menjadi pengurus Jerman dan mereka tewas 1-2 pada aksi separuh akhir Euro 2012.

"Kekalahan itu sangat menyakitkan saya, namun ia menjadi pengajaran berguna," ujarnya seperti dilaporkan AP.

Kali ini Low optimis terhadap anak buahnya mampu mengubah sejarah apabila mereka memenangi perlawanan menghadapi Itali pada Mac lalu.

Masalahnya kemenangan 4-1 itu berlangsung ketika kedua-dua pasukan hanya bertemu atas dasar perlawanan persahabatan.

Kata Low, walaupun berjaya melepasi rintangan peringkat kumpulan, kini bukan masa yang betul untuk bergembira.

"Saya memang berharap bertemu Itali pada suku akhir. Itali kali ini bukan skuad yang biasa kita kenali," katanya.

Nouveau Stade de Bordeaux bakal menjadi saksi sama ada keyakinan Low itu boleh dijadikan realiti atau sejarah berulang kembali untuk Itali.

Sepak mula perlawanan itu berlangsung pada jam 3 pagi waktu Malaysia.

Lihat Komen
ADS