Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Portugal melangkah ke separuh akhir lagi
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 6:56 AM
Dikemaskini: 11:16 PM

Bermula dengan ketangkasan Rui Patricio mengagak arah tendangan Jakub Blaszczykowski, disusuli terjahan Ricardo Quaresma maka Portugal pun mengesahkan tempat ke separuh akhir Euro kali ini.

Poland terpaksa akur untuk menamatkan cabaran mereka selepas tumpas 3-5 kepada Portugal sebentar tadi.

Penentuan penalti terpaksa dilakukan selepas kedua-dua pasukan terikat jaringan 1-1 di Stade Velodrome.

Kejayaan itu sekali gus memperbaharui rekod Portugal melangkah kaki buat kali kelima ke peringkat separuh akhir daripada tujuh penampilan mereka di Euro.

Selepas terikat dengan jaringan 1-1 sepanjang 120 minit permainan, ‎Poland terpaksa akur dengan keupayaan skuad Seleccao mengatasi mereka.

Sebaik wisel sepak mula, kedua pasukan memperlihatkan permainan cukup menarik, malah gol pertama dicipta Poland ‎seawal minit pertama.

Penyerang Poland, Robert Lewandowski meledak gawang yang dikawal Patricio hasil umpanan silang Kami Grosicki.

Jaringan segera itu sekali gus menjadikan tempo permainan semakin pantas, Portugal terus menguasai perlawanan dalam usaha menyamakan kedudukan itu.

Portugal berjaya mencipta gol penyamaan melalui rembatan kencang pemain muda mereka, Renato Sanches pada minit ke-33.

Bermain dengan hantaran satu dua dengan Nani, Sanches bijak mengambil peluang melakukan rembatan dari luar kota penalti menewaskan penjaga gol lawan, Lukasz Fabianski.

Pada 45 kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terus berbalas serangan, namun gagal mencipta sebarang gol.

Dengan tambahan masa permainan selama 30, Portugal dan Poland berjaya mempertahankan gawang masing-masing sehingga memaksa keputusan ditentukan melalui saingan penalti.

Portugal yang membariskan Cristiano Ronaldo, ‎Sanches, Jaoa Maotinho, Nani dan Quaresma dengan mudah menyempurnakan tugas mereka membolosi gawang Fabianski.

Bagaimanapun, sepakan penalti keempat Poland yang diambil Blaszcsykowski berjaya diselamatkan Patricio.

Lihat Komen
ADS