Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Del Bosque pula letak jawatan
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 10:04 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Selepas lapan tahun membimbing skuad bola sepak Sepanyol, Vicente del Bosque akhirnya melepaskan jawatan ‎senagai pengurus skuad La Furia Roja.

Tindakan itu dibuat sebagai mengambil tanggungjawab atas kegagalan Sepanyol mempertahankan gelaran juara dunia dan Euro.

Keputusan itu menyaksikan del Bosque menjadi jurulatih kedua yang berundur selepas pasukannya tersingkir pada siangan Euro 2016.

Sebelum ini Roy Hodgson terlebih dulu meninggalkan jawatannya sebagai pengurus skuad England selepas mereka tewas kepada Iceland 1-2 pada perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik.

‎Sepanjang mengendali Sepanyol, del Bosque, 65, dilihat berjaya sekurang-kurangnya mencapai sasaran diimpikan.

Bekas pengurus Real Madrid itu berjaya membawa skuad El Matador muncul juara Piala Dunia 2010 disusuli mempertahan gelaran skuad itu sebagai juara Euro pada 2012.

Tak bimbang masa depan

Sayangnya, Sepanyol merudum secara tragis pada Piala Dunia 2014 di Brazil selepas gagal melepasi siangan peringkat kumpulan.

Perjuangan Bosque dan anak buahnya pada Euro di Perancis kali ini disekat Itali dengan kekalahan 0-2.

Dia mengumumkan peletakan jawatan itu melalui siaran radio Nacional de Espana, malam tadi.

Del Bosque berkata, dia tidak berniat untuk melanjutkan tanggungjawab sebagai pengurus Sepanyol.

"Tanpa ragu, saya tidak ada keinginan untuk meneruskan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih, tidak kira apa juga hasil yang diraih pada Euro. Saya juga tak ada kebimbangan tentang masa depan," katanya kepada radio Sepanyol dan dipetik dilaporkan Sky Sport.

"Saya hadapi masalah ini secara diam-diam. Namun, ini adalah keputusan yang saya ambil sejak awal lagi," katanya sambil menegaskan akan terus membantu Sepanyol sekiranya diperlukan.

Del Bosque menggantikan Luis Aragones sebagai ketua jurulatih Sepanyol bermula Julai 2008, beberapa minggu selepas La Roja menewaskan Jerman 1-0 pada final Euro 2008.

Pada 2010 dia meraih kejayaan gemilang pada kelayakan Piala Dunia dengan memenangani 10 perlawanan peringkat kumpulan yang turut disertai Bosnia and Herzegovina, Turki dan Belgium.

Bersama Jerman, Sepanyol adalah pasukan paling berjaya dalam kejohanan peringkat Eropah ini dengan masing-masing muncul juara sebanyak tiga kali.

Jika ditakdirkan Sepanyol juara kejohanan kali ini negara itu mencatatkan satu lagi sejarah dengan menjulang piala kemenangan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Sepanyol adalah juara Euro untuk edisi 2008 (mengalahkan Jerman) di Austria, dan 2012 (mengalahkah Itali) di Ukraine.

Lihat Komen
ADS