Paling Popular
Terkini
story images
story images

Selangor akan menuntut situasi "menang menang" dalam isu permintaan JDT untuk mendapatkan pemain mereka, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Pengurus skuad The Red Giant, Amirudin Shari, berkata setakat ini perbincangan antara kedua-dua pihak untuk membuat keputusan terbaik masih berjalan.

"Kita belum ada keputusan lagi, sedang berbincang dengan pihak JDT menjurus ke arah penyelesaian yang menang menang.

"Bagi saya paling penting, atau paling kurang kita tidak mahu mengalami kelemahan yang ketara di bahagian tersebut jika Azrif dibenarkan keluar (meninggalkan Selangor)," katanya kepada media pada sidang media penganjuran badminton jemputan antarabangsa Piala Foo Kok Keong di Shah Alam, hari ini.

JDT meneruskan hasrat untuk mendapatkan pemain tengah Selangor itu dan menghantar permohonan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 23 dan 27 Jun lalu.

Mohd Azrif (gambar) sebelum ini meminta FAS melepaskannya bagi membolehkan dia menyertai JDT.

Dia juga menyatakan kesanggupannya menebus baki nilai kontrak bersama FAS berjumlah RM720,000.

Bagaimanapun FAS dilaporkan bertegas tidak akan melepaskan Mohd Azrif pada pertengahan musim, namun bersedia berbuat begitu selepas saingan liga Malaysia musim ini berakhir.

Isu perpindahan Mohd Azrif ke JDT bukan perkara baru memandangkan pemain berkenaan pernah menyatakan hasrat menyertai skuad Harimau Selatan pada awal musim namun ditolak pengurusan FAS.

Bagaimanapun, situasi kini sudah berubah apabila kedua-dua pihak memilih jalan rundingan sebelum menentukan nasib pemain berusia 25 tahun itu.

Amirudin berkata, keputusan menang menang itu sekurang-kurang membolehkan Selangor mendapatkan pemain gantian yang lebih baik.

"Itu adalah asas bagi pihak kami," katanya.

Sementara itu, mengulas persiapan menjelang musim bersambung tidak lama lagi, Amirudin berkata Selangor akan mengadapi perlawanan persabahatan terakhir pada Ahad ini.

"Pada perlawanan itu nanti kita akan lihat secara keseluruhan apa yang mahu diubah dan persiapan terakhir sebelum liga bersambung.

"Apa yang penting kita nak betulkan beberapa aspek serangan dan pertahanan yang dilihat masih lagi bermasalah, terutamanya pada awal permainan," katanya.

Lihat Komen
ADS